Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, saksi kesembilan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memohon kebenaran untuk menangguhkan prosiding sehingga Isnin depan gara-gara menghadapi masalah kesihatan.

Saksi berkenaan, bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menyatakan dirinya kurang sihat dan tidak mampu memberikan keterangannya pada sebelah petang ini.

“Saya rasa tidak betul. Dengan keadaan cuaca ini, saya rasa tidak cukup sihat untuk jalani perbicaraan pada sebelah petang,” katanya kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Collin: Kenapa dengan kamu? Kamu tidak boleh teruskan?

Shahrol: Ya. Saya memang rasa tidak boleh untuk hari ini.

Collin: Baiklah, kita tangguh sehingga Isnin pagi kelak. Kes ditangguhkan.

Terdahulu, Shahrol mendedahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Development Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khaldoon Khalifa Al Mubarak pernah bersetuju untuk menjadi Ahli Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB pada tahun 2010.

Selain daripada itu, Shahrol juga mengakui pernah mengadakan pertemuan peribadi dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LVMH Moët Hennessy-Louis Vuitton SE, Bernard Arnault di Paris.

LVMH adalah syarikat barang mewah terbesar dunia dan Arnault antara lelaki terkaya serta pelabur paling berpengaruh di Eropah.

“Secara lisannya, Arnault bersetuju untuk jawatan BOA tersebut,” ujarnya.

Shahrol juga mengesahkan Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dalam buruan pihak berkuasa merupakan individu yang mencadangkan nama Arnault ketika itu.

“Cadangan nama Arnault datangnya daripada Jho Low, dia cakap Najib dah setuju. Jho Low beritahu saya ketika meneliti proses menandatangani surat pelantikan dan pengesahan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah,” ketika ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Bagaimanapun ketika diasak oleh Muhammad Shafee seandainya Shahrol ada bertanyakan sendiri kepada Najib tentang perkara itu, saksi hanya menjawab tidak.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan sehingga ke Isnin pagi minggu depan. –MalaysiaGazette