Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi bercakap kepada media selepas pada Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Peruntuhan keseluruhan RM1.1 bilion yang diterima Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 adalah di luar jangkaan.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berjanji akan menggunakan peruntukan tersebut sebaiknya di mana RM90 juta akan dimanfaatkan untuk Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan memperuntukan kementerian kita RM1 bilion dan daripada itu RM90 juta untuk Tahun Melawat Malaysia untuk 2020.

“Tidak boleh cakap ia cukup atau tidak, kalau cukup kita akan gembira kalau kita cakap tak cukup kami akan cuba minta tambah lagi.

“Sudah tentu kita memberi cadangan permintaan peruntukan, ia melebihi jangkaan kami. Kami akan gunakannya dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 hari ini turut meneruskan pemberian 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada setiap kerajaan negeri untuk menyokong usaha mereka sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Selain itu, pelaburan baharu bagi taman tema antarabangsa diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ditolak sehingga 70 peratus untuk lima tahun.-MalaysiaGazette