Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (kanan) bersama Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan.

PONTIAN – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan menganggap dakwaan Pakatan Harapan (PH) tidak menggunakan jentera kerajaan satu cerita dongeng.

Lebih-lebih lagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak lama lagi.

Menurut Ahmad, hakikatnya sudah banyak program menteri diadakan di kawasan itu dan ini sahaja ada dua menteri mengadakan program berasingan iaitu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Kita dah mula lihat ramai menteri datang, mereka kata tak nak guna jentera kerajaan tapi saya yakin mereka akan gunakan. kalau tak, ia memang cerita dongenglah.

“Sudah pun kelihatan mereka gunakan jentera kerajaan, mereka datang ke sekolah, semua digunakan nelayan dan sebagainya, para menteri, exco kerajaan negeri semua dah muncul….mana janji tak nak gunakan jentera kerajaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Sementara itu, Ahmad memberitahu, PRK Tanjung Piai amat penting kepada mereka kerana ia diadakan selepas penyatuan ummah dan muafakat nasional selain selepas Belanjawan 2020.

Justeru, katanya, sama ada rakyat mampu menerima semua itu atau tidak, semuanya bakal terjawab, beliau bagaimanapun mengharapkan keputusan positif sekali gus memberikan kesan baik kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Ahmad berkata, masyarakat di Tanjung Piai bukan sahaja mahu calon tempatan tetapi mereka juga mahukan individu itu dalam kalangan orang Melayu bagi PRK berkenaan.

Pendapat tersebut diperolehi hasil daripada pertemuan beliau dengan masyarakat di kawasan berkenaan dan semasa menghadiri lebih lapan program di situ.

“Saya sudah menghadiri beberapa program dan bertemu dengan masyarakat di Tanjung Piai mereka inginkan calon Melayu tetapi ingin saya tekankan, saya hanya boleh tolong sampaikan, namun keputusan tetap terpulang pada keputusan kepimpinan tertinggi,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.