Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang percaya P. Gunasekaran tidak bersalah atas dakwaan terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Saya percaya Guna tak bersalah dan kita akan sokongan apa apa bentuk yang perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga Gunasekaran di Kampung Baru Rahang, Negeri Sembilan hari ini.

Beliau juga menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador yang membenarkan lawatan keluarga dan peguam kepada Gunasegaran dalam tahanan.

Menurut Kit Siang, sebagai ahli lama DAP, Gunasekaran menyokong seratus peratus pendirian parti yang tidak menyokong unsur kekerasan.

“Apa yang mustahak SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) patut dimansuhkan keraja itu yang dijanjikan dalam manifesto kita,” ujar Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu lagi.

Sekiranya Gunasekaran bersalah, katanya, pemimpin DAP itu perlu terus didakwa di mahkamah dan bukan ditahan melalui SOSMA.

Sementara itu, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke pula kesal dengan apa yang berlaku terhadap Gunasekaran.

Bagaimanapun, sebagai menteri, beliau menghormati tugas polis dan proses yang dijalankan.

“Apa yang diharapkan siasatan selesai segera dan proses dipercepatkan.

“Difahamkan beliau (Gunasekaran) ada masalah perubatan dan polis kena beri bantuan dan kerjasama,” katanya yang mengiringi lawatan Kit Siang hari ini.

Beliau yakin walaupun ketiadaan Gunasegaran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seremban Jaya, khidmat masyarakat dapat diteruskan oleh pasukannya.

Selain Gunasekaran dan Exco kerajaan Melaka, G. Saminathan juga ditahan berhubung siasatan terlibat dengan LTTE.

Mengenai ada lagi penahanan ahli-ahli DAP, Anthony berkata, pihaknya belum mendapat maklumat mengenainya dan tidak dapat mengesahkan sama ada mereka ahli parti atau tidak.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua ADUN DAP sampaikan ucapan, edar risalah LTTE – Polis