KUALA LUMPUR – Dua wakil rakyat DAP antara tujuh suspek ditahan hari ini kerana disyaki terlibat aktiviti mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak dan mencari dana untuk kumpulan pengganas LTTE.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang juga Exco kerajaan negeri Melaka, G. Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaren serta suspek lain yang berumur antara 27 hingga 52 tahun ditahan dalam operasi yang dilakukan secara serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kedah antara pukul 9 pagi hingga 2 petang
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah menjalankan siastaan ke atas suspek-suspek sejak November tahun lalu bertindak atas risikan, siasatan dan maklumat awam.
“ADUN Seremban Jaya telah menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka dan menyampaikan ucapan sokongan kepada LTTE pada 28 November lalu selain turut dikesan mengedar risalah dan item item berkaitan LTTE.
“ADUN Melaka pula yang mana penglibatannya hampir sama seperti Gunasekaran apabila pada 28 November lalu menghadiri program sama dan menyampaikam ucapan menyokong kumpulan itu selain mengedar item berkaitan kumpulan keganasan itu ditahan selepa kedua-dua mereka dirisik dan disiasat terperinci selepas PRU lalu iaitu setelah program 28 November itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Tambah beliau, suspek ketiga yang merupakan peniaga barang lusuk berusia 28 tahun ditahan di Rawang Selangor kerana memiliki barang berkaitan kumpulan pengganas itu.
Kata Ayob Khan, siasatan mendapati suspek merupakan penganjur majlis Hari Perwira LTTE dan pernah disabitkan kesalahan mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 24 September 2016 dan didenda RM10,000.
Tambah beliau, suspek keempat yang merupakan ejen insurans berusia 38 tahun disyaki merancang serangan ke atas Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia dan menyimpan item Kumpulan Pengganas LTTE itu di ibu negara.
Menurutnya, operasi juga membawa kepada tangkapan suspek kelima, pemandu teksi di Sungai Siput, Perak kerana disyaki mengadakan perjumpaan sulit, merekrut dan menyebarkan ideologi serta propaganda kumpulan pengganas itu selain didapati menyimpan item berkaitan LTTE serta terlibat dalam insiden mencederakaan Pesuruhjaya Sri Lanka.
“Serbuan keenam di Kulim polis brjaya menahan lelaki, juruteknik berusia 27 tahun yang didapati mnyokong dan memiliki item-item berkaitan LTTE.
“Suspek ketujuh ditahan dalam serbuan di Sungai Buloh adalah seorang peniaga kedai makan berusia 57 yang disyak menyokong mempromosi kumpulan keganasan LTTE dalam media sosial turut ditahan dan barang barang berkaitan dirampas,” ujarnya.
Menurut Ayob Khan, kesemua mereka ditahan untuk disisat dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA selama 28 hari dan semua suspek dibenarkan mengakses peguam mereka selepas 48 jam tangkapan dilakukan.
Tambahnya, seramai 25 suspek dikaitkan dengan LTTE telah ditahan sejak 2009. – MalaysiaGazette