Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – DAP diingatkan agar tidak sesekali menjadikan faktor keselamatan sebagai isu politik terutama sekali jika ia melibatkan pemimpin daripada parti itu.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pihaknya menyelar beberapa kenyataan daripada pimpinan parti berkenaan yang dilihat ‘panas’ apabila polis bertindak menahan dua daripada mereka yang disyaki terlibat secara langsung dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Malah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diberi peringatan supaya menumpukan penyelesaian terhadap masalah kewangan dan ekonomi negara dan bukannya terhadap isu LTTE yang sekarang ini menjadi bidang kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat.

“Amat malang apabila Lim Guan Eng sekali lagi mengeluarkan kenyataan bahawa DAP menyokong pihak polis dengan merujuk peruntukan tambahan kepada polis di bawah Belanjawan 2020. Ini satu kenyataan yang angkuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shahir mempersoalkan tindakan Guan Eng yang membangkitkan penglibatan seorang pemimpin pembangkang yang menjadi Naib Presiden KUIS ketika membahaskan isu berkaitan kumpulan pengganas.

Katanya, DAP kelihatan sangat terdesak umpama menegakkan benang yang basah berhubung isu berkenaan dan persoalan yang timbul sama ada KUIS terlibat secara langsung membunuh ribuan rakyat tidak berdosa seperti yang dilakukan oleh LTTE.

“Penglibatan pemimpin DAP dalam menyokong gerakan LTTE yang diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sebenarnya membimbangkan.

“Tambahan pula DAP merupakan antara parti politik terbesar dalam gabungan Pakatan Harapan dan anggota kabinet kerajaan Malaysia.

“Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir untuk tidak berganjak menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

“Akta ini sememangnya diperlukan untuk menghalang pengganas bertindak sewenang-wenangnya di dalam negara kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette