Abdul Fareed Abdul Gafoor

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam menggesa polis mempercepatkan siasatan dan mendakwa mereka yang ditahan yang dikaitkan dengan LTTE di mahkamah jika mempunyai bukti yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, ia bagi mengelakkan penahanan selama 28 hari yang tidak diperlukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Adalah dilaporkan bahawa polis telah menjalankan pengawasan ke atas mereka yang ditahan baru-baru ini berhubung LTTE, yang bermakna polis mempunyai beberapa bukti pembabitan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang mengganggu gugat keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan penahanan 12 orang yang dikaitkan dengan LTTE, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

Abdul Fareed berkata, perli diingatkan peruntukan Sosma telah disalah guna pada masa lalu yang membabitkan beberapa individu iaitu Datuk Seri Khairudin Abu Hassan, Matthias Chang dan Maria Chin Abdullah.

Dalam kes Maria Chin, katanya, beliau dibebaskan selepas ditahan dalam tempoh yang lama tanpa sebarang dakwaan terhadapnya manakala Khairuddin dan Matthias walaupun mereka didakwa, pendakwaraya kemudian menggugurkan dakwaan. – MalaysiaGazette