Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaafar bercakap pada sidang media Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia berhubung kakitangan Utusan di Hotel De Palma Ampang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Langkah pengurusan baharu syarikat Utusan Melayu (M) Berhad menutup pengoperasian penerbitan akhbar itu baru-baru ini bukanlah satu keputusan yang baik.

Sebaliknya, pengendali syarikat media tersebut sepatutnya berusaha terlebih dahulu dengan memilih jalan tertentu untuk menyelamatkan perniagaan yang telah bermula sejak 80 tahun dahulu, kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar.

Beliau berkata, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir sepatutnya melaras perniagaan yang sedang dipacu ke tahap yang lebih baik dan bukannya terus membiarkan ia kecundang.

“Orang yang mengambil alih syarikat ini tentunya dah tahu keadaan industri surat khabar pada masa ini.

“Kita bukan berada dalam situasi ideal di zaman kegemilangan persuratkhabaran seperti dahulu. Semua surat khabar menghadapi masalah. Utusan ini ada brand akhbar mereka iaitu Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad.

“Kenalah buat adjustment. Dengan menutup syarikat saya fikir itu bukanlah satu opsyen yang terbaik. Kita ada banyak pilihan lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Johan yang juga ahli Kelab Veteran Utusan Malaysia (KVUM) menegaskan, syarikat akhbar paling tua di negara itu tidak boleh “dibunuh” begitu saja, sebaliknya perlu diberi peluang untuk terus hidup.

“Kita mahukan kebajikan petugas diambil kira, syarikat yang nak ambil alih (Utusan Melayu Berhad) bukan tidak tahu masalah industri persuratkhabaran.

“Semua syarikat (surat khabar) buat penyesuaian, apa yang berlaku pada Utusan boleh berlaku pada syarikat surat khabar lain,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi ahli KVUM, Ku Seman Ku Hussain berkata, kesinambungan terhadap Utusan selepas ia dicetak kembali sukar untuk dipastikan selepas ini kerana telah dimiliki pihak lain.

“Kita jual rumah pada orang lain, orang lain boleh buat apa saja, jangan harap kesinambungan,” ujarnya. – MalaysiaGazette