Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nik Omar Nik Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyifatkan satu perkara aneh apabila sebuah pertandingan debat peringkat kebangsaan menyentuh isu sensitif keagamaan.

Itu responnya ekoran isu yang timbul daripada Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019.

“Polemik ini merupakan satu kontroversi yang sebenarnya boleh dan wajar dielakkan sekiranya pihak penganjur mempertimbangkan secara waras dan bersikap realistik akan hakikat sensitiviti yang membentuk masyarakat di Malaysia.

“Besar kemungkinan pihak penganjur membayangkan bahawa di era Malaysia baharu ini, setiap pihak bebas mengutarakan pandangan tanpa menginsafi bahawa kebebasan tersebut harus dibina atas dasar kebertanggungjawaban yang tinggi terhadap setiap citra perbezaan yang wujud,” kata kenyataan , dikeluarkan oleh Bahagian Media dan Teknologi Dakwah YADIM hari ini.

Menurut kenyataan yang sama, ia tambah menghairankan adalah sikap penganjur yang menimbulkan kontroversi dalam sebuah
pertandingan debat sekolah yang umum mengetahui bahawa perdebatan tersebut bukanlah sebuah perdebatan dunia akademik dan ini melambangkan kegopohan dan keculasan yang
tinggi.

“Sekiranya penjelasan yang cuba dilakukan oleh pihak hakim pertandingan dalam mempertahankan tindakan mereka dilihat begitu dangkal dari segi hujah akademik dan intelektualnya adakah pihak penganjur mengandaikan sebuah pertandingan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah yang masih diperingkat awal pembinaan kapasiti ilmu mampu untuk memberikan penghujahan yang adil dan tepat berdasarkan disiplin ilmu yang bersesuaian sementelah tajuk yang didebatkan tersebut bukanlah sebuah tajuk yang dibincangkan secara enteng oleh pakar yang berkaitan,” katanya.

Justeru YADIM memandang serius tindakan yang seakan mengundang api kontroversi dan memalitkan nama kementerian dan kerajaan dalam isu yang tidak wajar itu.

“YADIM menggesa agar siasatan secara menyeluruh dilakukan dan satu garis panduan diwujudkan bagi penganjuran
program debat agar ia tidak lagi menimbulkan isu-isu sensitif sebagaimana yang berlaku,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast