KUALA TERENGGANU – Stok ikan di perairan negara kini semakin berkurangan dan saiznya semakin mengecil akibat kerakusan manusia.
Pensyarah kanan bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz berkata, 15 tahun dahulu, nelayan mampu mendapatkan ikan bersaiz besar dengan mudah berbanding keadaan sekarang dan ia menjadi salah satu penanda aras tekanan terhadap stok perikanan negara.
Salah satu punca hakisan stok adalah penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal ((Illegal, unreported and unregulated fishing – IIU).
“Isu IUU ini, boleh memberi kesan dalam jangka panjang terhadap stok perikanan di negara kita. Selain ikan komersial, mangsa utama kegiatan IUU ini adalah hidupan laut dan ikan yang tidak mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.
“Contohnya ikan lumba-lumba, paus, penyu, obor-obor dan hidupan demersal seperti kerangan. Ada di antara hidupan ini berakhir sebagai ikan baja dan dibuang sebegitu sahaja di lautan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, baru-baru ini.
Mohd Fazrul berkata, tekanan kepada stok perikanan semakin meruncing apabila penggunaan ikan per kapita di Malaysia meningkat daripada 46 kilogram kepada 55 kilogram dari 2010 ke 2019.
Dijangkakan juga pendaratan ikan marin akan meningkat sebanyak 2.9 peratus iaitu daripada 1.23 juta tan metrik pada 2010 kepada 1.76 juta tan metrik pada 2020, malah permintaan produk berasaskan perikanan meningkat dari tahun ke tahun dan sekali gus meningkatkan lagi tekanan pada stok perikanan sedia ada.
“Permintaan yang tinggi menyebabkan pengusaha perikanan mencari seribu satu cara bagi memenuhi permintaan di pasaran,” katanya.
Menurut Mohd Fazrul, antara teknik yang diharamkan di Malaysia tetapi masih digunakan secara berleluasa adalah racun, elektrik, rawai dan letupan, hingga memberi tekanan besar kepada stok ikan.
Penggunaan racun atau tuba merupakan salah satu teknik IUU yang digunakan pada musim kemarau serta digunakan pada air tawar apabila perairan menjadi cetek.
“Tuba ini juga boleh memberi kesan kepada mereka yang memakan ikan yang ditangkap menggunakan teknik ini. Antara ciri-ciri yang mudah kelihatan ikan yang telah dituba adalah perutnya lebam dan berwarna biru, malah ikan juga mudah berbau dan mengeluarkan lendir yang banyak,.
“Elektrik juga telah disalahgunakan sebagai kaedah untuk menangkap ikan. Walaupun kebanyakan mereka yang menggunakan alatan elektrik bagi mencari ikan mengatakan ikan hanya pengsan sementara waktu namun kesan kepada organ dalaman amat lah besar sehingga berlaku pendarahan dalaman dan menyebabkan pecahnya pundi udara yang terdapat di dalam badan ikan,” katanya.
Mohd Fazrul berkata bom juga digunakan sebagai bahan mencari ikan secara berleluasa tanpa menyedari ia mengandungi bahan kimia sianida yang boleh memudaratkan mereka yang memakan ikan tersebut.
Tahun ini sahaja, katanya, sebanyak 43 kes pengeboman telah direkodkan di Semporna, Sabah dan gelombang yang dihasilkan oleh letupan itu juga membawa kecederaan serius kepada organ dalaman ikan termasuk tulang hancur serta usus dan pundi udara pecah.
Selain itu, Mohd Fazrul berkata penjarahan sumber perikanan oleh nelayan asing juga semakin berleluasa sehingga Malaysia kerugian RM6 bilion setahun walaupun pihak berkuasa cuba mengatasinya.
Tambahan pula, katanya, penggunaan peralatan menangkap ikan seperti pukat rawa surong dan bubu naga di kawasan yang tidak sepatutnya menyukarkan lagi kelangsungan hidup ikan juvenil.
“Penggunaan rawai juga menyumbang kepada perikanan IUU. Rawai yang digunakan pada skala besar boleh mencecah sehingga 3,000 bentuk. Penyu, ikan lumba-lumba, burung camar boleh menjadi mangsa kerana tertarik pada umpan yang disangkut pada mata rawai.
“Selain pengawalan berterusan, aplikasi penderiaan jarak jauh dan penduga gema boleh digunakan bagi memantau IUU ini. Kerjasama yang erat antara pihak nelayan dan pihak berkuasa yang terlibat juga amat penting bagi memastikan kelestarian sumber perikanan,” katanya. – MalaysiaGazette