Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas tidak anggap tindakan MIC memberi khidmat peguam kepada suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai menyokong keganasan oleh mana-mana pihak.

Apatah lagi, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, sehingga kini dalam kes itu tidak ada bukti seorang pun ahli MIC yang ditahan.

Kata beliau, bagi Pas langkah memberi khidmat peguam adalah untuk memastikan seseorang yang ditahan mendapat haknya sebagaimana dijamin di sisi undang-undang selaras dengan prinsip “seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”.

“Sekiranya mereka dibuktikan bersalah dan disabitkan oleh mahkamah, semua pihak perlu akur dan menyerahkannya kepada proses undang-undang untuk dilaksanakan.

“Pada masa sama, Pas atas dasar kepentingan awam dan keselamatan negara terus mendesak kerajaan mengemukakan Kertas Putih di Parlimen mengenai kegiatan berbentuk sokongan kepada aktiviti keganasan di negara ini.

“Ini supaya mana-mana pihak terutama pimpinan politik yang memesongkan pemikiran rakyat diambil tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini. – MalaysiaGazette