Gambar ihsan IPD Lipis

KUANTAN – Sebuah treler yang membawa minyak sawit terbabas di kilometer 2 Jalan Benta-Jerantut, di Lipis lalu melanggar tiang elektik sebelum terjunam ke dalam anak Sungai Lubok Gayung.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, dalam kejadian jam 9 pagi itu,  treler tersebut membawa 42 tan  minyak sawit dari kilang sawit Felcra Jaya Putra, Kampung Damak, Jerantut menghala ke Semenyih, Selangor.

“Apabila sampai di tempat kejadian, treler dipandu lelaki berusia 36 tahun telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

“Ia kemudian melanggar sebatang tiang elektrik milik TNB dan menyebabkan tanker berisi minyak sawit itu tergolek masuk ke dalam anak sungai Lubok Gayung, Benta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akibat kemalangan tersebut, menurut Ismail, pemandu treler cedera di bahagian belakang badan.

Katanya, mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Benta untuk diberikan rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Kaedah 10LN 166/59 (Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.

Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi sembilan saat yang memaparkan kejadian tumpahan minyak daripada sebuah tanker lori treler di sebatang sungai. – MalaysiaGazette