Datuk Dr Nasharudin Mat Isa

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan mantan Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa untuk dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok.

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan pihaknya telah mendapat izin daripada Peguam Negara untuk menuduh Nasharuddin mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Kanun Keseksaan di mahkamah tersebut pukul 9 pagi.

Menurut kenyataan itu, Nasharuddin ditahan pada pukul 2 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir.

Beliau kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Februari lalu, media melaporkan Nasharuddin bersama beberapa pemimpin Pas disiasat penguatkuasa undang-undang itu kerana disyaki menerima wang RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya diterbitkan portal berkenaan sebelum ini, mendakwa ada pemimpin tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta bagi mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan terbabit. – MalaysiaGazette