Kamaruzaman menunjukkan laporan polis yang dibuat Lajnah Penerangan Pas Pusat di pekarangan Balai Polis Dang Wangi hari ini.

KUALA LUMPUR – Pas tidak akan membuat petisen bantahan kepada kerajaan bagi meminta mengambil tindakan ke atas pihak tertentu dalam DAP yang mengedarkan komik berunsur jahat.

Sebaliknya, menurut Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad, cara terbaik ialah melalui laporan polis supaya tindakan tegas dapat dibuat ke atas pihak terbabit.

Katanya, beliau bersama Lajnah Penerangan Pas Wilayah Persekutuan telah membuat laporan polis bagi pihak parti itu berkaitan komik bertajuk, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang diedar ke sekolah.

Beliau menjelaskan, pengedaran komik itu merupakan satu cubaan DAP untuk mengeliru dan menafikan sejarah asal Tanah Melayu yang menjadi hak milik orang Melayu dan demografinya berubah setelah British membawa masuk kaum Tionghua dan India.

“Saya bersama rakan dari Lajnah Peneranan Pas Pusat dan Perhubungan Pas Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis berkaitan dengan komik itu yang disebarkan di sekolah.

“Kandungan dalam komik ini cuba menafikan fakta sejarah dan menggambarkan seolah orang Melayu bodoh dan pengecut dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

“Ini suatu penafian sejarah yang sangat jelas, di mana negara kita sejak penjajahan British, ribuan umat Islam terkorban terutama sekali golongan alim ulamak yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Dangi Wangi di sini, hari ini.

Menurut Kamaruzaman, selepas ini ratusan laporan polis akan dibuat jentera penerangan Pas di seluruh negeri agar tindakan segera diambil ke atas pihak yang mengeluar dan mengedar komik itu.

Mengulas lanjut, kata beliau, komik itu turut menggambarkan bintang tiga dan komunis terlibat sama sebagai pejuang kemerdekaan dan itu adalah cubaan secara halus serta terancang untuk mengubah sejarah tanah air.

“Seperti yang kita tahu, bintang tiga dan komunis ini adalah musuh negara, yang mana di tangan mereka ribuan askar kita terkorban. Anggota polis juga terkorban dan tercedera.

“Hari ini, mereka melakukan cubaan jahat untuk menjadikan mereka sebagai pejuang kemerdekaan negara,” katanya.

Kata beliau, Pas dan rakyat Malaysia khususnya tidak boleh menerima kewujudan komik berkenaan yang turut memasukkan perjuangan ideologi politik DAP ke sekolah. – MalaysiaGazette