Penaung Tabung Pahlawan, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melakukan persembahan khas mengesek biola sambil diiringi dengan nyanyian penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza (kiri) pada Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali membuat penampilan istimewa pada Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan 2019 apabila mengesek biola untuk menghiburkan hadirin.

Beliau yang juga Penaung Tabung Pahlawan memainkan empat lagu iaitu dua lagu berbahasa Melayu manakala dua lagi berbahasa Inggeris.

Judul lagu iringan gesekan biola yang disampaikan Siti Hasmah dan dinyanyikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurahliza ialah Selendang Sutera, Pahlawanku, In Our Tears dan Coming Home.

Pada akhir majlis tersebut, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pula mendeklamasi puisi bertajuk Penghargaan Atas Pengorbanan yang ditujukan kepada veteran tentera.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyampaikan sajak khas sempena Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 OKTOBER 2019.

Sebanyak 65 penyumbang tabung berkenaan yang terdiri daripada syarikat swasta diraikan pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Turut hadir pada majlis tersebut Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Tetamu yang hadir juga dihiburkan dengan persembahan ‘Papa Rock’, Datuk Ramli Sarip dan veteran ATM. – MalaysiaGazette