BANGKOK – Polis Thailand menahan 10 rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dengan penipuan skim pelaburan di Chiang Mai, utara Thailand bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Imigresen Kawasan 5 (Wilayah Utara) Kol Polis Ekkorn Boossababordin berkata, polis menerima maklumat bahawa kumpulan itu menganjurkan seminar pelaburan mata wang secara haram bagi menarik kira-kira 100 pelancong China dan pelabur menyertai mereka pada 20 September lepas.

“Kami percaya mereka terbabit dengan penipuan pelaburan mata wang. Mereka memberitahu peserta untuk melabur dalam mata wang digital dengan janji pulangan yang lumayan,” katanya dalam persidangan media di sini hari ini.

“Sindiket ini boleh meraih perolehan sehingga 10 juta baht jika berjaya menarik mangsa menyertai skim pelaburan mereka,” tambahnya.

Ekkorn berkata, semua rakyat Malaysia itu ditahan dan didakwa kerana bekerja secara haram di Thailand, dan mereka dikenakan denda 10,000 baht.

Beliau berkata, lima daripada mereka adalah dari Kuala Lumpur, dua dari Selangor, dan masing-masing satu berasal dari Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. Kesemua mereka dihantar pulang pada 25 September lepas. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.