Mohd Nor Hamzah

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mendesak tindakan tegas diambil ke atas dalang penyebaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang menjadi kontroversi hangat kalangan masyarakat awam dan dalam Dewan Rakyat.

Ketua Penerangannya, Mohd. Nor Hamzah berkata, apa yang dikesalkan, komik kontroversi itu diedarkan ke sekolah, sedangkan isi kandungannya jelas bercanggah dengan fakta sejarah dan boleh dikaitkan sebagai hasutan berniat jahat.

Beliau menegaskan, DUPP membantah keras komik itu kerana ia cuba menafikan sejarah asal Tanah Melayu sedangkan penduduk asal adalah kaum Melayu.

Katanya, cubaan penafian itu berniat jahat bagi menjayakan agenda Malaysian Malaysia selain sikap prejudis yang jelas dengan menjatuhkan imej kaum Melayu dalam isu kemerdekaan.

“Sedangkan perjuangan memerdekakan Tanah Melayu telah pun ditiupkan semangat jihad oleh para ulamak yang membantah keras penjajahan dan sistem zalim yang dikenakan oleh penjajah.

“Malang sekali, apabila komik tersebut cuba mendoktrin pembaca di kalangan pelajar dengan ideologi seleweng kononnya bintang tiga dan komunis dilihat hero dalam isu memerdekakan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan, melihat kepada kontroversi yang jelas bercanggah dengan fakta sejarah dan cubaan memasukkan doktrin menyeleweng, maka DUPP mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Kata Mohd Nor, tindakan perlu diambil ke atas pelukis komik atas hasutan yang dilakukan menerusi kandungan yang menimbulkan kontroversi.

“Tindakan juga perlu diambil ke atas dalang edaran komik tersebut ke sekolah-sekolah kerana jelas melanggar etika persekolahan dalam cubaan mendoktrin pelajar dengan sesuatu yang jelas bertentangan.

“Mana-mana pimpinan parti yang bersubahat dan bersekongkol dalam edaran komik kontroversi ini juga perlu diambil tindakan kerana tidak menghormati sejarah dan mencalarkan imej kaum Melayu yang diiktiraf dalam Hak Istimewa yang termaktub menerusi Perlembagaan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai mengambil langkah proaktif dengan membuat laporan polis bagi memastikan tindakan serius lagi tegas untuk menangani doktrin jahat itu.

Katanya, dengan sikap cakna orang ramai diperlukan dalam isu itu sebagai tanda sebarang ideologi dan doktrin yang salah di sisi agama dan perlembagaan tidak boleh disebarkan bagi menjamin kesejahteraan negara dan masyarakat. – MalaysiaGazette