KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan bekas juara dunia Ultimate Fighting Champion (UFC) bagi kategori lightweight, Khabib Nurmagomedov malam tadi.

Pertemuan pada jamuan makan malam itu membincangkan perkara berkaitan Islam termasuk hal ehwal pembangunan ummah dan Palestin.

“Usai pertemuan dengan rombongan dari Indonesia, saya dan Azizah berpeluang meraikan lagenda UFC dunia, Khabib Nurmagomedov bersama delegasi dalam jamuan makan malam di Seri Perdana, Putrajaya.

“Turut bersama dalam sesi ini adalah aktivis hak asasi dan professor undang-undang dari Amerika Syarikat, saudara Khaled A. Beydoun serta perenang Palestin yang beraksi di Olimpik Paris, Yazan Al Bawwab,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini.

Anwar berkata, beliau melihat personaliti seperti Khabib, Khaled dan Yazan sangat penting untuk menjadi inspirasi bahawa seorang Islam yang baik bukan sahaja terbaik dalam profesion namun, mampu menonjolkan nilai yang bertunjangkan ihsan dan rahmah khususnya dalam menghadapi gejala Islamofobia.

Ahad lalu, Khabib muncul dalam program bual bicara itu yang menampilkan Alif Satar sebagai pengacara dan bintang muda muay thai negara, Johan Ghazali atau Jojo sebagai tetamu khas.

Kunjungan bekas juara lightweight Ultimate Fighting Championship atau UFC itu hadir sempena Siri Pendidikan Islam, Faith Events 2024.

Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia anjuran Faith Events itu berjaya menarik kehadiran seramai 1,500 orang yang rata-rata peminat atlet sukan paling berpengaruh di dunia dan memiliki lebih 37 juta pengikut di Instagram.

Khabib, 36, memulakan latihan seni mempertahankan diri sejak kecil di bawah bimbingan arwah bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov.

Beliau membuat penampilan sulung UFC pada 2011 dan bersara sebagai juara kelas lightweight yang tidak pernah kalah pada 2021 dengan rekod menakjubkan 29-0.

Khabib juga dianggap salah seorang petarung yang paling dominan dalam sejarah sukan UFC dan pada Julai 2022, beliau telah dilantik ke dalam UFC Hall of Fame. – MalaysiaGazette