Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd berkemungkinan melaksanakan pusingan terbaharu langkah pemberhentian beratus-ratus pekerjanya dalam usaha untuk terus bertahan dalam industri yang terjejas teruk akibat krisis Covid-19.- Gambar hiasan.

SEPANG – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sepatutnya turun padang dan melakukan pemeriksaan serta menyiasat tentang kesesakan di kaunter imigresen klia2 dan bukannya meminta butiran lanjut mengenainya daripada irAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Riad Asmat berkata, apa perlunya Mavcom meminta bukti daripada AirAsia sedangkan isu ini telah dibangkitkan secara terbuka dalam liputan berita dan media sosial.

Menurutnya, kelemahan dan kegagalan Mavcom dalam mengambil tindakan membuktikan agensi itu telah mengabaikan tanggungjawabnya dalam melindungi hak pengguna penerbangan.

“Pihak Mavcom hanya perlu meninggalkan pejabat mereka di KL Sentral selama beberapa jam sahaja untuk ke klia2 bagi melihat sendiri situasi yang parah di kaunter imigresen pada waktu puncak. Mereka boleh datang pada hari apa sahaja kerana kesesakan ini berlaku setiap hari, dan bukannya isu terpencil seperti yang didakwa.

“Belum ada pegawai dari Mavcom termasuk Pengerusi Eksekutifnya yang sudi melawat ibu pejabat AirAsia RedQ, yang hanya terletak hanya bersebelahan dengan klia2.

“Sedangkan ramai pelawat seperti pengawal selia dan penggubal dasar termasuk dari luar negara yang berduyun-duyun melawat kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai model penerbangan tambang rendah AirAsia yang kini merupakan kumpulan syarikat penerbangan ke-13 terbesar di dunia. Adakah AirAsia tidak penting bagi Mavcom dan Malaysia?,” soalnya.

Riad berkata, sejak Mei 2018, Mavcom telah mengutip RM1 daripada setiap penumpang yang menggunakan semua lapangan terbang di Malaysia.

Mavcom telah mengutip dana anggaran lebih kurang RM30 juta, jika tidak lebih, daripada caj perkhidmatan pengawalseliaan itu.

Dakwanya, sehingga kini, Mavcom masih belum menerbitkan Laporan Tahunannya untuk 2018.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad Benyamin Ismail berkata, kesesakan di kaunter imigresen klia2 semakin teruk setiap hari dan menimbulkan masalah kepada para penumpangnya.

Disebabkan kecewa dengan keadaan itu, AirAsia telah menulis kepada Mavcom dan meminta mereka membantu menyelesaikan masalah ini.

“Ini bukanlah kali pertama Mavcom enggan bertindak ke atas aduan atau isu yang dilaporkan dan kami pasti ia bukan yang terakhir.

“Tuntutan mahkamah berjumlah RM480 juta yang difailkan terhadap MAHB untuk kerugian isu operasi di klia2 dua minggu lepas adalah keputusan yang terpaksa dilakukan atas sebab keengganan Mavcom menjadi pengantara seperti yang kami minta sebelum ini.

“Mavcom juga enggan menjadi pengantara dalam pertikaian di antara AirAsia dan MAHB mengenai Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) klia2 sehingga memaksa Jemaah Kabinet membuat keputusan untuk menurunkan kadar PSC bagi klia2 dan lapangan terbang lain. Keengganan Mavcom ini jelas bercanggah dengan Seksyen 75 Akta Mavcom 2015 itu sendiri,” dakwanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast