KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan telah menfailkan permohonan untuk memindahkan kes syarikat Goldman Sachs Group Inc yang menghadapi tuduhan jenayah berhubung terbitan bon bernilai AS$6.5 bilion berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan kepada Majistret Mohamad Fared Abdul Latif bahawa Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Okt untuk sebutan permohonan itu.

Mohamad Fared menetapkan 16 Dis untuk sebutan semula kes bagi mengetahui perkembangan permohonan tersebut.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Goldman Sachs.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aaron Chelliah ketika ditemui media berkata permohonan untuk memindahkan kes itu difailkan Jumaat lepas.

Pada 19 Dis 2018, pendakwaan menfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs dan didakwa telah meninggalkan fakta-fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013, di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini, antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Pertuduhan di bawah subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Dis tahun lepas, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast