Lang Cong mempromosikan larian korporat yang dianjurkan oleh Vanke Malaysia pada bulan depan.

KUALA LUMPUR – Vanke Holdings (M) Sdn Bhd (Vanke Malaysia) pemaju hartanah terkemuka di China akan menganjurkan larian korporat yang pertama sejauh 5 kilometer pada 2 November ini.

Vanke Malaysia merupakan subsidiari Kumpulan Vanke, yang mana syarikat induk itu berkedudukan di tangga 254 dalam Fortune 500 pada tahun lalu dengan mencatatkan jualan keseluruhan bernilai RMB606.95 bilion (bersamaan AS$84.57 bilion).

Pengarah Urusannya, Lang Cong berkata, penganjuran acara larian “Run For Fun” yang julung-julung kali diadakan di Malaysia dikhaskan kepada badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil-wakil kerajaan untuk berlari sejauh lima kilometer yang akan diadakan di Taman Perdana Botani Kuala Lumpur.

Beliau berkata, lebih 2,000 penyertaan telah pun diterima setakat ini dengan sasaran untuk menggalakkan menjalani kehidupan sihat.

“Acaran larian ini telah dimulakan pada tahun 2013 oleh Kumpulan Vanke dengan menekankan nilai utama “Run For Health, Run For Fun and Run for Friendship” untuk menggalakkan budaya sukan yang ceria.

Sejak dianjurkan di Shenzhen, acara ini telah berjaya diadakan lebih dari 380 larian di lebih 60 buah bandar.

Kira-kira 800,000 peserta dari 20,000 buah syarikat, 40,000 buah keluarga dan lebih 50 buah sekolah telah terlibat,” katanya pada majlis pelancaran larian itu di sini hari ini.

Lang berkata, selain daripada beriadah, sihat dan aktiviti bertenaga, larian ini mencerminkan komitmen Kumpulan Vanke di dalam penglibatan komuniti sejak memasuki pasaran Malaysia.

“Nilai budaya korporat yang sihat di kalangan para pekerja di dalam sesebuah organisasi tanpa mengira kewajipan tugas, akan memberi kesan kepada produktiviti dan moral para pekerjanya.

“Aktiviti sukan sebegini terbukti telah memberi kesan positif kepada syarikat yang turut memberi kesan kepada para pekerja untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi memenuhi keperluan syarikat selain dari keperluan sendiri,” tambahnya.

Kumpulan Vanke yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, selepas 35 tahun penubuhannya hari ini menjadi peneraju pemaju hartanah di kawasan bandar dan luar bandar dan penyedia perkhidmatan di China.

Perniagaannya telah berkembang ke komersil, perkhidmatan pangsapuri sewa jangka panjang, logistik dan pergudangan, resort ski, pendidikan dan sebagainya untuk menyediakan taraf hidup yang lebih baik untuk rakyat.

Ini banyak menyumbang kepada pelan pembangunan kemampanannya telah mengembangkan perniagaannya di lapan buah bandar di luar China iaitu Hong Kong, Singapura, London, Moscow, Seattle, San Francisco, New York dan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette