Kebakaran besar di Sky City Convention Centre, dekat Auckland. foto Agensi

WELLINGTON – Kebakaran besar projek pembangunan Sky City Convention Centre yang dalam pembinaan di kompleks kasino dekat Auckland masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya meskipun sudah 24 jam.

Ia menyebabkan asap tebal menyelubungi udara di bandar besar New Zealand, selain jalan-jalan raya masih ditutup.

Kebakaran yang berlaku semasa waktu tengah hari menyebabkan kerja-kerja pemindahan orang ramai dibuat bagi keseluruhan kompleks milik SkyCity Entertainment Group termasuk hotel, kasino dan restoran.

“Kami menjangka akan membuka semula bahagian lain esok … kami berharap kebakaran ini dapat ditangani pada malam ini,” kata Graeme Stephens, ketua eksekutif SkyCity, pada sidang akhbar.

Tidak ada kecederaan yang berlaku akibat kebakaran tersebut, walaupun seorang anggota bomba diberi rawatan selepas jatuh sakit.

Lebih 25 jentera bomba masih berada di tempat ketika para pemadam kebakaran memerangi api sepanjang malam.

Susulan kebakaran itu, Datuk Bandar Auckland, Phil Goff berkata, pusat itu dijangka tidak dapat disiapkan menjelang acara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun 2021.

“Anda perlu terima bahawa pusat konvensyen ini tidak berkemampuan untuk menganjurkan mesyuarat APEC,” katanya.
Goff berkata, majlisnya akan bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari lokasi baharu bagi penganjuran APEC.

Projek pembinaan yang dilaksanakan oleh Fletcher Building Ltd itu bernilai NZ$703 juta. – MalaysiaGazette