Hew Kuan Yew

KUALA LUMPUR – Kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia, Hew Kuan Yau diambil keterangan oleh pihak polis selama tiga jam berhubung siasatan terhadap penerbitan komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” hari ini.

Ia merupakan keterangan untuk hari yang kedua di Bukit Aman dan Kuan Yau yang lebih dikenali sebagai Superman hadir bersama tiga lagi individu.

Beliau tiba di ibu pejabat polis berkenaan pukul 2 petang dan melangkah keluar dari Bukit Aman pukul 5.30 petang tadi.

Ketika ditemui pemberita, Kuan Yau memberitahu, akaun Facebooknya ditutup bagi mengelakkan pertelingkahan di media sosial.

Katanya, akaunnya itu ditutup sehingga siasatan dalam kes tersebut selesai.

Sementara itu, peguamnya, P. Rajsurian memberitahu, polis bersikap profesional sepanjang sesi pada hari ini dan anak guamnya hanya ditanya mengenai peranan masing-masing dan latar belakang mereka.

Ujarnya, mereka turut diminta menyerahkan dokumen berkaitan penerbitan komik itu.

“Pihak polis juga meminta sijil berkaitan akademik Hew dan dokumen perbualan emel berhubung penerbitan komik,” tambahnya.

Tiga individu selain Hew yang diminta ke Bukit Aman hari ini ialah pengurus syarikat percetakan, pelukis dan pengurus Muzium Kebudayaan Komik Asia.

Pada 18 Oktober, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan awal bahagian keselamatan kementeriannya mendapati, terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekaligus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkannya.

Komik tersebut yang dipercayai diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dilapor mencetuskan kontroversi ekoran isi kandungannya dikatakan tidak sesuai untuk pelajar sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast