DUBAI- Saudi Aramco sedang meneroka jalan untuk menghargai pelabur-pelabur setia dalam tawaran awam permulaannya (IPO) bagi memastikan rekod jualan saham tidak disusuli oleh gelombang penjualan semula, demikian menurut sumber yang rapat dengan perkara tersebut.
Antara salah satu langkah yang telah dibincangkan oleh Aramco bersama pengawas selia Arab Saudi adalah menawarkan saham bonus kepada pembeli runcit yang menyimpan saham mereka selama enam bulan, katanya.
Aramco sedang mencari jalan untuk mengurangkan kemeruapan pasaran selepas IPO tersebut memulakan dagangan selain memberikan manfaat kepada pembeli-pembeli yang mengharapkan durian runtuh daripada penyenaraian tersebut, kata sumber tersebut lagi.
Aramco berhadapan dengan isu sukar mengimbangi di antara memaksa penilaian tersebut mencapai nilai AS$2 trilion- satu angka yang menerima maklum balas skeptikal daripada pelabur-pelabur profesional dan dalam masa sama memastikan ianya cukup menarik untuk pembeli-pembeli berpotensi Arab Saudi.- MalaysiaGazette