Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd., Datuk Khairil Anuar Aziz.

KUALA LUMPUR- MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) menjangkakan pasaran gula global akan mencapai tahap defisit, sekali gus memberikan peluang lebih baik kepada syarikat tersebut untuk meluaskan eksportnya.

Baru-baru ini, Pertubuhan Gula Antarabangsa meramalkan defisit gula global adalah kira-kira 3.5 juta tan pada 2019-2020 dan seterusnya meningkat hampir enam juta tan pada 2020-2021 didorong terutamanya oleh pengeluaran rendah negara-negara pengeluar seperti Brazil, Thailand dan Eropah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairil Anuar Aziz, MSM ketika ini mensasarkan untuk mengeksport lebih 100,000 tan produk gula ke rantau Asia menjelang 2021 termasuk gula pra-campuran terbaharunya.

Produk tersebut baru sahaja memulakan penghantaran bermula Jun lalu manakala gula cecair keluaran MSM pula memulakan penghantaran pertama bulan ini.

“Penggunaan gula pra-campuran dan gula cecair dalam industry boleh dikatakan menjimatkan kos di samping meningkatkan kecekapan pengeluaran.

“Pelaburan kami dalam kemudahan pengeluaran gula pra-campuran membolehkan MSM menembusi pasaran pra-campuran yang besar di negara-negara Asia yang mana anggaran permintaan keseluruhan ketika ini berlegar sekitar tiga juta tan setahun.

“Kami juga berhasrat untuk menembusi pasaran gula jagung terutamanya di Asia dengan anggaran permintaan sebanyak empat juta tan setahun.

“Ini merupakan batu loncatan kepada MSM untuk terus meluaskan eksport produk pra-campuran dan gula cecair ke pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Khairil, MSM juga sedang aktif menilai pasaran gula Singapura bagi meningkatkan bekalan langsung gula ke republik tersebut.

Berdasarkan kepada audit dan kelulusan daripada syarikat-syarikat makanan dan minuman multinasional di kilang MSM di Johor, permintaan terhadap gula di Singapura ketika ini berada pada paras tertinggi.

Katanya, pasaran gula Singapura adalah sekitar 250,000 setan metrik setahun.

Kedudukan kilang di Johor yang berhampiran dengan Singapura memberikan manfaat besar kepada MSM.

Tegas Khairil, MSM berharap dapat mengambil peluang sepenuhnya terhadap unjuran kos purata gula mentah yang lebih rendah.

“Kami sentiasa memantau trend dan harga gula dunia.

“Unjuran defisit tersebut akan memberikan kelebihan kepada MSM, yang mana kami akan meningkatkan pertumbuhan eksport, menaikkan kadar utilisasi, meneruskan langkah mengoptimumkan kos serta tahap kecekapan dan pengelyaran keseluruhan kilang penapisan baharu MSM di Johor Bahru,” katanya lagi.- MalaysiaGazette