KUALA LUMPUR – Ketika semua pihak menghentam dan membidas kenyataan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu Tian Khiew kerana memperlekeh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun masih ada yang menyokong tindakan berani wakil rakyat DAP itu.
Antaranya Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menyokong Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Pelek itu atas dasar kebebasan bersuara yang diperjuangkan sendiri Pakatan Harapan (PH).
“Malaysia Baru perlu pertahankan kebebasan bersuara…bagi saya Ronnie Liu adalah seorang ahli politik yang matang dan berani,” katanya yang dimuat naik di Facebook miliknya, semalam.
Selasa lalu, Ronnie mengatakan bahawa PH masih mempunyai kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa kehadiran PPBM.
Ronnie turut memberi amaran kepada Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak membuat keputusan yang bertentangan dan tidak sehaluan dengan pendirian PH.
Menurut Ronnie lagi, DAP, PKR, Amanah, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) sudah mempunyai majoriti kerusi tanpa PPBM.
Dalam pada itu, Jamal juga mempersoalkan sikap berdiam diri DAP yang enggan mempertahankan pemimpin mereka atas prinsip kebebasan bersuara.
“Apa salahnya kenyataan Ronnie Liu..kenapa DAP tidak mempertahan beliau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette