KUALA LUMPUR, 25 Okt. 2019 – RAM Ratings telah menyemak semula penarafan AA2 program Sukuk Murabahah Widad Capital Sdn Bhd. (WCSB) pada nilai nominal RM110 juta daripada stabil kepada positif.
Semakan semula ini dilakukan berikutan pencapaian kewangan onsisten pada tahun lalu seperti yang direkodkan oleh FSCR melebihi 1.90 kali sekali gus melepasi jangkaan RAM untuk penarafan AA2 WCSB.
WCSB anak syarikat milik penuh Widad Builders Sdn Bhd (WBSB), yang mana WBSB telah dianugerahkan kontrak Pengurusan Fasiliti komprehensif oleh Kerajaan Malaysia bernilai RM490 juta di Istana Negara Kuala Lumpur.
WBSB adalah syarikat milik penuh Widad Group Berhad (WGB). Widad Business Group (WBG) pula menguasai 67.89 peratus dalam WGB.
“Kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada WCSB pada 25 Julai 2016 dengan WBSB dilantik sebagai subkontraktor untuk menjalankan kerja pengurusan fasiliti,” kata WCSB dalam kenyataan di sini hari ini.
WGB merupakan syarikat pegangan pelaburan di mana secara prinsipalnya terlibat di dalam aktiviti pembinaan perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu.
Pengarah Urusan WGB Datuk (Dr) Mohd. Rizal Mohd. Jaafar, kenaikan penarafan WCSB dari AA2 kepada tinjauan positif oleh RAM menguatkan lagi kedudukan kewangan serta mengukuhkan lagi model perniagaan WCSB.
“Secara amnya dengan cabaran global serta ketidaktentuan pasaran serantau, WGB telah membuktikan tahap daya tahan yang bukan sahaja meningkatkan penarafan kredit malah menunjukkan kesinambungan peningkatan keuntungan syarikat,” kata Mohd. Rizal.
Beliau menambah, pihaknya amat berbangga kerana penarafan kredit sebelum ini telah dinaikkan kepada satu tahap baru untuk menjadi salah sebuah syarikat yang mendapat penarafan terbaik di dalam kalangan industri.
“Kami berterima kasih kepada semua Lembaga Pengarah dan juga rakan kongsi kerana bersama-sama memantapkan kedudukan sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk industri serantau,” ujarnya. – MalaysiaGazette