Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat jam tangannya pada Sesi Dialog dan Libat Urus Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain, sepatutnya membalas pandangan seorang ahli akademi mengenai pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan secara rasional, bukannya menggunakan serangan peribadi.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) Zaid Kamaruddin kesal dengan tindakan Presiden PKR itu semalam yang mempersoalkan kenyataan penganalisis dasar awam, Lim Teck Ghee yang menyifatkan Malaysia di bawah kerajaan PH sebagai “bencana yang tidak terkawal’.

“DSAI dan para pemimpin Pakatan Harapan boleh memilih tidak bersetuju dengan analisis Dr Lim mengenai urus tadbir negara. Ia boleh dilakukan dengan rasional berdasarkan statisik, fakta bukan dengan serangan peribadi,” katanya menerusi kenyataan.

Kata Anwar semalam, ahli akademik itu membisu semasa wang negara dirompak, sebaliknya lantang bersuara semasa PH mentadbir.

Dr Lim ujar Zaid selain tidak pernah senada dengan perlakuan rasuah, dalam masa yang sama sebagai ahli akademik berhak untuk menyuarakan pandangannya selari dengan perkembangan semasa.

“Walaupun seorang akademik, dia mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk merasakan nadi negara.

“Dr Lim adalah seorang akademik yang berpinsip, beliau melawan sekerasnyanya semasa Anwar dipenjarakan di Sungai Buloh,” tambahnya.

Menempelak tindakan Anwar, Zaid mempelawa Ahli Parlimen Port Dickson itu  membaca buku nukilan Dr Li, bertajuk “Challenging Malaysia’s Status Quo” sebelum mengkritik ahli akademi tersebut.

GBM pada akhirnya menurut Zaid, ingin melihat Pakatan Harapan membina semula Pakatan Harapan.

Terdahulu Dr Lim ketika bercakap dalam forum “Whiter Maruah Malaysia 2.0”, melahirkan kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan hari ini semakin meluas.

Katanya, isu pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kegagalan Icerd, Dr Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan banyak lagi merupakan senarai kekecewaan dan kegagalan politik kerajaan itu.-MalaysiaGazette