Seorang kakitangan Utusan Malaysia membawa keluar barangan dari pejabat berikutan notis arahan penutupan Bangunan Utusan Malaysia di Pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Akhbar Utusan yang bakal diterbitkan tidak lama lagi akan menampilkan pemikiran baharu.

Menurut sumber, Utusan yang baharu itu akan menjadi suara orang Melayu dan bukan lagi membawa wadah orang politik seperti sebelum penutupannya.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum ini disebut-sebut termasuk oleh Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin, antara individu yang terlibat dalam proses peralihan Utusan.

Mengulas mengenai dakwaan itu, bekas Menteri Kewangan II itu menyatakan beliau tidak memiliki sebarang saham Utusan.

Ianya dibeli dan dikuasai oleh tokoh konglomerat, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di bawah syarikat Aurora Mulia Sdn Bhd yang juga menguasai kepentingan dalam Media Prima.

“Saya sekarang sibuk menumpukan usaha membaik pulih syarikat KUB Berhad yang baru saya beli, yang juga mengalami banyak masalah,” kata Johari dalam pertemuan dengan MalaysiaGazette di sini.

Temubual eksklusif bersama bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Raintree Club Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2019

Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. yang sebelum Februari lalu milik UMNO selama 58 tahun telah bertukar tangan selepas saham parti itu berpindah milik kepada bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Syarikat penerbitan itu diletakkan dalam senarai syarikat bermasalah atau Practice Note 17 sejak Ogos tahun lalu semakin tenat kerana isu kewangan.

Utusan akhirnya menutup operasinya pada 9 Oktober lalu selepas Lembaga Pengarah Utusan pada 7 Oktober lalu meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang.

Johari berkata, penutupan dan kejatuhan akhbar berbahasa Melayu itu adalah disebabkan model perniagaan media cetak yang tidak menguntungkan.

“Saya difahamkan Utusan rugi setiap tahun sehinggakan nak bayar gaji pun tidak mampu”

“Minat orang hendak baca media cetak sudah sangat berkurangan. Mereka lebih suka baca online, tak payah bayar.

“Jumlah circulation (edaran) pun dah banyak berkurangan daripada beratus ribu naskah jatuh kepada lebih kurang 55,000 naskah sehari,” ujarnya.

Meskipun tidak memiliki sebarang kepentingan dalam Utusan baharu namun Johari mengakui beliau pernah diminta untuk menasihati dan menyumbang pemikiran demi survival akhbar berkenaan. – MalaysiaGazette