Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking sambil diiringi Pengerusi Jawatankuasa Persekutuan Pro-tem Fesyen, Tekstil dan Apparels Malaysia (FMFTA), Datuk Seri Tan Thian Poh (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Launching Federation of Malaysian Fashion, Textiles & Apparels di MIDA Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- Malaysia perlu membangunkan sebuah hab tekstil bagi merangsang industri gaya hidup.

Dalam masa yang sama, ia menarik pelaburan asing (FDI) dalam bidang huluan untuk melabur di Malaysia.

Pengerusi Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA), Tan Sri Tan Thian Poh berkata, industri gaya hidup di negara ini terperangkap dalam segmen pengilang peralatan asli (OEM) dan sudah tiba masanya, Malaysia bergerak ke arah pengilang rekaan asli (ODM) dan pengilang jenama asli (OBM).

Hab tekstil itu jelasnya, akan mengumpulkan semua pemain industri fesyen dan gaya hidup untuk mengeluarkan jenama tempatan yang berkualiti tinggi sekali gus menarik pelabur-pelabur asing untuk menceburi bidang huluan di saat syarikat tempatan meningkatkan nilai dalam bidang hiliran.

“Margin OEM sangat rendah, kita memerlukan volum yang tinggi (untuk mencatatkan keuntungan), disebabkan itu kita merancang untuk membina sebuah hab tekstil yang turut memerlukan FDI.

“Malaysia kekurangan pelabur asing dalam bidang huluan jadi kita boleh jemput China, Korea, Jepun dan Taiwan untuk datang dan mengukuhkan bidang hiliran tempatan.

“Selama ini kita menumpukan pembangunan di negeri-negeri maju tetapi masalahnya, negeri-negeri tersebut sudah tidak mempunyai tanah dan tenaga kerja.

“Untuk hab ini, kami memikirkan untuk melaksanakannya di negeri-negeri miskin seperti Kelantan, Kedah dan Sabah yang mempunyai banyak sumber yang masih belum diterokai sepenuhnya,” katanya semasa sidang media selepas Pelancaran FMFTA di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Menurut Thian Poh, cadangan tersebut masih peringkat awal dan memerlukan sokongan semua pihak termasuk kerajaan pusat dan negeri.

Katanya, mereka merancang untuk membangunkan hab tekstil Malaysia itu di atas tanah berkeluasan di antara 600 hingga 1,000 hektar.

Dalam pada itu, Darell pula berkata, kerajaan menerusi MITI khususnya memberi sokongan penuh terhadap cadangan tersebut dan akan menggerakkan agensi-agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadaan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk membantu FMFTA melaksanakan projek berkenaan.

“Kita akan mengindustrikan perkara ini,” katanya.

Tambah Darell, MITI telah mengusulkan idea supaya kesemua pemain industri tekstil dan pakaian Malaysia bernaung di bawah satu bumbung tahun lepas.

Ini menjadi pencetus idea kepada penubuhan FMFTA yang bakal menjadi batu loncatan kepada pemain industri tempatan untuk mempromosi, merangsang kepenggunaan domestik dan meningkatkan kerjasama dan promosi dalam industri berkenaan.-MalaysiaGazette