Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad yang mengulas mengenai usia calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam dianggap sebagai satu kenyataan yang keterlaluan.

Ia seolah-olah mengharapkan kematian orang, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan itu berkata, mengaitkan seseorang dengan faktor umur adalah satu tindakan tidak wajar dan ia tidak patut diungkapkan.

“Ini satu kenyataan yang sangat tidak patutlah, daripada segi umur setiap orang itu, daripada segi kesihatan ia tidak boleh dikaitkan dengan umur dan saya rasa tidak baik untuk sesiapa membuat kenyataan seperti itu seolah-olah memperli orang dan mengharapkan orang itu meninggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Keselamatan Jalan Raya Asia Pasifik 2019 di sini hari ini.

Anthony ditanya wartawan mengenai kenyataan Hasni pada majlis pelancaran jentera BN untuk PRK Tanjung Piai apabila mengaitkan faktor usia dengan PRK pada masa-masa akan datang.

Kenyataan Hasni itu turut mendapat kecaman netizen yang rata-rata berpendapat ia sebagai satu kenyataan yang melampau.

Mengambil contoh usia Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini mencecah usia 94 tahun, Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu lebih sihat daripada orang-orang UMNO dan Barisan Nasional sendiri.

“Jangan lupa perdana menteri kita umur 94, dia mungkin lebih sihat daripada ramai orang UMNO dan Barisan Nasional,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar semua pihak yang bertanding pada PRK berkenaan memberikan fokus kepada isu rakyat dan bukannya menyerang individu dengan isu-isu peribadi.

Ahad lalu, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK parlimen berkenaan.

Pencalonan Karmaine, 66, diumumkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Tanjung Piai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 November sebagai hari penamaan calon dan 16 November sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil parlimen itu. – MalaysiaGazette