Wendy Subramaniam

KUALA LUMPUR – Wendy Subramaniam hari ini diumumkan sebagai calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, 16 November ini.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, Wendy merupakan pilihan alternatif untuk rakyat selain calon yang dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kita nampak kerajaan baharu ini tidak menunaikan janji-janji mereka semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dahulu.

“Atas faktor itu, Gerakan mengambil bahagian di Tanjung Piai. PH selama ini tidak mementingkan faktor ekonomi dan hanya sibuk merebut kuasa sahaja.

Dr Dominic berkata demikian semasa berucap pada majlis pengumuman calon Gerakan untuk PRK Tanjung Piai di bangunan PGRM, pada Selasa.

Wendy, 38 tahun merupakan Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional Gerakan.

Wendy adalah peguam dan juga akauntan bertauliah. – MalaysiaGazette