Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa BN Tapah di Bangunan UMNO Tapah, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 MAC 2025.

TAPAH – Kerjasama baik antara parti komponen Barisan Nasional (BN), Friends of BN dan Pakatan Harapan (PH) dijangka mampu menjadi penyumbang kepada kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, parti komponen BN dan Friends of BN yang ditemui telah menyatakan komitmen untuk mencari serta menarik pengundi masing-masing.

Katanya, beliau juga yakin bahawa gabungan PH turut akan komitmen yang sama dalam membantu memenangkan calon BN pada PRK nanti.

“Perjumpaan tadi kita bersetuju untuk memenangi PRK Ayer Kuning nanti dan masing-masing kita akan turun padang mencari pengundi masing-masing.

“BN dengan penyokong dia, MCA dengan penyokong dia, MIC dengan penyokong dia dan hari ni kita jumpa, maka daripada Friends of BN pun sama. Petang petang besok saya akan berjumpa dengan PH.

“Kalau semua parti pergi mencari pengundi, merayu pengundi dan membawa pengundi ke tempat mengundi, saya cukup yakin, kita akan menang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan parti-parti Friends of BN di pejabat BN Tapah di sini, pada Isnin.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, serta pemimpin parti Makkal Sakti, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Parti Cinta Malaysia (PCM), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, setakat ini, BN tidak menghadapi sebarang masalah dengan mana-mana parti Kerajaan Perpaduan, malah hubungan dijalin cukup baik.

“Parti-parti ini juga memberi pengaruh yang besar kerana mereka juga mempunyai ahli dan penyokong masing-masing.

“Setakat ini kita tak ada masalah dan kalau ada apa-apa perbezaan pendapat dan pandangan, itu biasa dan kita akan meminimakan segala perbezaan kerana fokus satu saja, untuk menang pilihan raya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here