Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Aziz (kanan) pada Perasmian PNB Corporate Summit 2019 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Tindakan bank-bank di negara ini menutup akaun individu dan syarikat dari Iran kerana mendapat tekanan daripada pihak tertentu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak menamakan pihak itu berkata, tindakan itu disifatkan sebagai sikap membuli oleh orang yang berkuasa.

Namun tegas beliau, ia bukan bertujuan membantu pihak tersebut.

“Kita menerima tekanan kuat oleh pihak tertentu untuk menutup akaun rakyat dan syarikat dari Iran.

“Kita tidak membantu pihak terbabit namun dipaksa kalau tidak menutup kerana bank kita pula akan ditutup di luar negara.

“Tindakan ini adalah sikap membuli daripada pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPKK) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Dr. Mahathir diminta mengulas laporan terdapat bank di Malaysia telah menutup akaun individu dan syarikat dari Iran.

Reuters hari ini melaporkan tindakan tersebut sebagai tanda sekatan Amerika Syarikat yang mempunyai kesan meluas terhadap rakyat republik Islam itu.

Walaupun bank-bank di Malaysia seolah-olah lebih berhati-hati dalam menangani rakyat Iran berbanding di negara lain, beberapa rakyat dan seorang pegawai kedutaan Iran berkata, terdapat “penutupan besar-besaran” di negara Asia Tenggara sejak beberapa bulan lalu.

“Bank-bank itu lebih ‘Katolik daripada Paus,” kata pensyarah universiti, Behrang Samadi yang merupakan antara 10,000 orang warga Iran yang tinggal di Malaysia dan belajar di sini.

Beliau mendakwa bank, CIMB telah menutup akaunnya yang berusia 14 tahun pada Ogos lalu.

“Di negara-negara Barat, tidak ada masalah membuka akaun bank,” katanya.

“Mereka hanya sensitif tentang pemindahan wang terutamanya dalam jumlah besar,” katanya.

Samadi berkata, beliau menarik balik wangnya tidak lama selepas bank memberi amaran kepada beliau tentang penutupan itu dalam tempoh sebulan, walaupun dia masih boleh mengakses akaunnya secara online pada hari Ahad lalu.

Walaupun sekatan Washington terhadap program nuklear Iran yang dikenakan lewat tahun lalu, Malaysia telah mengadakan hubungan diplomatik yang baik dengan Teheran.

Minggu lalu, pemimpin kedua negara membincangkan cara untuk memperkuat hubungan diplomatik.

Namun sehingga kini tidak jelas jika penutupan akaun dikaitkan dengan pengesanan kapal tangki bahan api minyak Iran di luar pesisir Malaysia tahun ini yang merupakan perkembangan yang mengganggu Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.