Foto metro.co.uk

CHIANG MAI – Seorang jutawan pemaju hartanah dibunuh secara tragis selepas ditemui mati dengan mayatnya disimen dalam konkrit dan disumbat dalam peti sejuk

Metro.co.uk melaporkan ahli perniagaan wanita itu, Wannee Jiracharoenying, 58, dilaporkan hilang pada Jumaat lalu sebelum mayatnya ditemui di kediamannya dua hari kemudian.

Mayat mangsa ditemui selepas jiran Wannee, Woraphan Jiracharoenying membuat panggilan kecemasan apabila mangsa didakwa tidak membalas mesejnya.

Malah, jiran-jiran mengadu bau busuk dari kediamannya.

Polis kini mencari rakannya, dikenali sebagai Oom yang hilang selepas pembunuhan kejam itu.

Ia susulan penemuan polis yang mendapati sejumlah wang telah dikeluarkan daripada akaun bank Wannee selepas kematiannya.

Kad bank dan kereta milik mangsa juga dilaporkan hilang.

Ketua polis, Bundit Tungkhaseranee berkata, pihaknya kini melakukan siasatan kerana dikhuatiri rakan mangsa melarikan diri ke luar negara.

“Pihak bank telah memaklumkan mangsa adalah pelanggannya dan menerima maklumat bahawa wang telah dikeluarkan oleh seseorang selepas kematian mangsa.

“Suspek mengeluar wang dari ATM di Chiang Mai kemudian di Chiang Rai dan Mae Hong Son, berjumlah 1.2 juta baht – kira-kira £31,000.

“Maklumat terbaharu yang kami terima daripada bank adalah suspek mengeluarkan lagi wang tetapi kali ini di Rayong, CCTV dari ATM merakamkan sebahagian wajah mereka,” katanya.

Jurucakap timbalan polis, Kolonel Kritsana Pattanacharoen berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Maharat Chiang Mai untuk pengecaman dan bedah siasat. – MalaysiaGazette