Serpihan televisyen 50 inci yang dilempar oleh seorang wanita dari tingkat 10 sebuah kondominium. foto ANN

SINGAPURA – Seorang wanita ditahan selepas didakwa membuang televisyen dari tingkat 10 kondominium yang didiaminya Isnin lalu.

Wanita berusia 31 tahun itu juga ditahan bagi siasatan kes penggunaan dadah.

Seorang bayi yang dipercayai anak kepada wanita itu telah dibawa ke sebuah hospital.

Kejadian itu berlaku di sebuah kondominium di 6 Pasir Ris Link kira-kira 3 petang.

Seorang penduduk memaklumkan kepada Shin Min Daily News, dia terdengar bunyi bising ketika sedang menyediakan makanan.

Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Frank berkata, televisyen 50 inci ‘mendarat’ di kaki lima di tingkat bawah dan serpihannya juga terdapat di tingkat dua.

“Nasib baik tiada orang yang melalui kawasan berkenaan ketika kejadian berlaku,” katanya.

Ageni Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) berkata, lebih daripada 7,700 kes membuang barang-barang dari tingkat atas dilaporkan antara tahun 2016 dan 2018 dan 2,300 hingga 2,800 kes setiap tahun.

Bagi menangani masalah ini, NEA telah memasangkan kamera pengawasan sejak tahun 2012 untuk menangkap pelaku.

Seorang lelaki berusia 47 tahun, Andrew Gosling didakwa menyebabkan kecederaan serius selepas dituduh membuang botol wain dari tingkat tujuh sebuah kondominium dan menyebabkan kematian seorang warga emas. – MalaysiaGazette