Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga negeri – Selangor, Perak dan Kedah – masih terjejas banjir dengan seramai 1,630 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir kekal tinggi dengan 858 orang daripada 274 keluarga yang ditempatkan di lima PPS melibatkan dua daerah di negeri itu.

Menurut kenyataan Smart Selangor Command Centre (SSCC), bagi Kuala Selangor, jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang kekal 604 orang daripada 167 keluarga; SK Jaya Setia (48 mangsa daripada 15 keluarga); SK Ijok (70 mangsa daripada 47 keluarga) dan SK Pasangan (132 mangsa daripada 44 keluarga).

Bagi daerah Gombak pula, empat mangsa daripada sebuah keluarga masih ditempatkan di PPS Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Matang Pagar.

Di PERAK, hujan lebat lewat petang semalam di sekitar bandar raya Ipoh menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat dengan kawasan teruk terjejas adalah di Medan Gopeng dan Sungai Rokam.

Berikutan itu, seramai 26 orang dipindahkan ke PPS di Dewan Orang Ramai Sungai Rokam sekali gus menjadikan daerah Kinta sebagai daerah terbaharu di Perak dilanda banjir kilat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, setakat pukul 7.30 pagi ini, seramai 668 mangsa banjir masih berada di tujuh PPS, meningkat berbanding 637 semalam.

Bagi banjir di daerah Kerian, seramai 277 masih berada di dua PPS iaitu SK Changkat Lobak (149), manakala SK Parit Haji Aman (128) dan daerah Manjung, 83 orang masih ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.

Angka banjir di daerah Hilir Perak kekal 282 seperti semalam dengan 230 orang di SK Changkat Jong, SK Dato’ Yahya Subban (51) manakala Dewan Orang Ramai Sungai Klah Baru (1) dan cuaca di semua kawasan-kawasan terjejas dilaporkan cerah.

Di KEDAH, mangsa banjir kekal 104 mangsa daripada 32 keluarga melibatkan satu daerah iaitu Pendang, dan kesemua mangsa ditempatkan di satu pusat pemindahan iaitu Dewan Cenderawasih.

Bagaimanapun, menurut Pegawai Daerah Pendang merangkap Pengerusi Pengurusan Bencana daerah Syed Khairol Anuar Syed Abidin, keadaan cuaca yang semakin baik hari ini dan paras air Sungai Pendang menunjukkan trend penurunan kepada 2.79 meter memungkinkan keadaan bertambah baik.

— BERNAMA