Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya berlangsung pada sesi petang hari ini ditangguhkan.

Penangguhan itu susulan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak dapat hadir ke Mahkamah Tinggi kerana sakit mata.

Perkara itu dimaklumkan peguambelanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika prosiding pada hari ke-28 hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan disambung pada Isnin ini.

Sekiranya perbicaraan berlangsung hari ini, mahkamah masih mendengar keterangan saksi kesembilan iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Untuk rekod, pada 11 September yang lalu perbicaraan 1MDB juga ditangguh kerana Najib mengalami sakit yang sama.

Semasa prosiding perbicaraan SRC International Sdn Bhd juga beliau pernah mengambil cuti tiga hari atas masalah kesihatan yang sama.-MalaysiaGazette