RASANYA semua orang sudah tahu apa yang terjadi pada akhbar Utusan Malaysia. Satu memorandum yang dikeluarkan oleh pihak syarikat pada petugasnya baru-baru ini menoktahkan segalanya.

Memorandum itu antaranya memberi arahan kepada semua kakitangan untuk mengemas tempat kerja, mengambil barang peribadi masing-masing dan mengembalikan semua peralatan dan harta syarikat termasuk kad akses dan kunci pejabat selewat-lewatnya 1 tengah hari (pada hari tersebut).

Operasi syarikat yang bermula sejak 80 tahun lalu itu semakin merosot sejak Mei 2018. Usaha menyelamatkannya semakin hari semakin buntu apatah lagi edaran harian Utusan Malaysia dan Kosmo semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan gagal dicapai sekaligus menyebabkan aliran tunai semakin tenat.

Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa malah hutang juga tidak dapat dilunaskan dan semakin tertunggak hingga menyebabkan syarikat berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutangnya.

Sayang seribu kali sayang. Sumbangan akhbar ini pada agama, bangsa dan negara cukup besar walaupun kontroversi yang menyelubunginya juga tidak kurang ‘besarnya’ – andaipun tidak sebesar jasanya.

Sumbangan petugas Utusan Malaysia, daripada peringkat Ketua Pengarang hinggalah ke peringkat peon, tak mampu dibalas khususnya dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang maju dan gemilang seperti yang kita lihat hari ini.

Mana mungkin kita lupa nama-nama besar yang lahir daripada ‘universiti’ tersebut seperti Pak Sako, Said Zahari, Pak Melan dan ramai lagi.

Daripada barisan sejarah panjang kehebatan warganya, izinkan saya menyebut salah satu daripada mereka, Pak Melan sendiri.

Pak Melan atau Tan Sri Melan Abdullah adalah bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia. Kehebatannya dalam dunia penulisan menjadikan beliau rapat dengan ramai pemimpin negara terutama dengan Tunku Abdul Rahman sewaktu almarhum menjadi Perdana Menteri. Ada satu kisah mengenai Pak Melan dan almarhum Tunku.

Sewaktu terjadinya peristiwa konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia, beliau bukan sahaja seorang wartawan malah mengepalai gerakan perang sarai atas nama Barisan Bertindak Rakyat Malaysia dengan menganjurkan tunjuk perasaan menentang pemimpin Parti Komunis Indonesia D.N. Aidit dan Menteri Luar Indonesia, Subandrio yang menjadi dalang dasar konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia.

Malah Melan pernah terbang ke Brunei sebagai perutusan khas Tunku untuk menyampaikan sepucuk surat kepada Sultan Brunei apabila meletusnya pemberontakan di Brunei pada pukul 2 pagi, 8 Disember 1962 untuk menggulingkan pemerintahan beraja di Brunei dan menggantikannya dengan Republik Kalimantan Utara yang pro-Indonesia. Pemberontakan ini gagal.

Melan membuat liputan rundingan untuk menamatkan konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia antara Tunku dan Sukarno di Tokyo pada Mei dan Jun 1963. Beliau banyak membawa pulang cerita yang menarik yang tidak boieh ditulisnya tetapi diceritakan di pejabat.

Ini semua ditulis oleh bekas seorang lagi Ketua Pengarang Utusan, Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya Hari Itu Sudah Berlalu.

Antara yang menarik kata Zainuddin dalam buku itu ialah mengenai kisah Tunku mencarut di hadapan Presiden Sukarno dan para wartawan asing setelah sidang itu gagal.

Kata Zainuddin, apabila keluar dari persidangan itu jurugambar akhbar dan juga wartawan-wartawan asing telah berebut untuk mengambil gambar Sukarno dan Tunku.

Melan berada di antara mereka.

Tunku dan Sukarno tidak menunjukkan wajah gembira sekalipun diminta tersenyum beberapa kali oleh jurugambar dengan berkata cheese.

Apabila didesak berkali-kali, Tunku akhirnya mencarut dengan perkataan Melayu yang terkenal dengan empat huruf menyebabkan Sukarno meletus ketawa dan Tunku sendiri ketawa. Bukan lagi tersenyum.

Ketawa semakin hebat apabila seorang wartawan bertanya is that cheese, Tunku? Tunku menjawab, “ya ya, something smell like cheese.”

Itulah yang menghasilkan gambar Tunku, Melan dan Sukarno ketawa besar.

Nampak tak betapa besarnya peranan dan sumbangan wartawan Utusan Malaysia seperti Pak Melan hingga boleh jadi ‘tukang damai’ secara tak rasmi antara dua pemimpin gah yang bertelagah.

Tetapi itulah. Semuanya telah berakhir seperti mana judul buku Allahyarham Zainuddin itu sendiri – Hari Itu Sudah Berlalu.

Apa lagi nak dikata.

Selamat tinggal Utusan Malaysia.

Akhbarnya mungkin mati, tetapi jasa warganya akan terus gemilang sampai bila-bila! – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast