myPPP kini perlu meneruskan kelangsungan hidup dalam arus politik tanahair tanpa Tan Sri M. Kayveas selepas ini. Sebagai permulaan, parti itu disarankan supaya meneruskan usaha menstabilkan ahlinya untuk menjamin kemenangan BN pada Pilihan Raya PRU14, kata Profesor Dr. Sivamurugan Pandian.
Profesor Dr. Sivamurugan Pandian.

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menggunakan saluran dan platform yang betul dalam menyuarakan pandangan beliau berhubung pilihan-pilihan yang ada bagi UMNO dalam menentukan masa depan parti itu, ketika pertemuan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kelmarin.

Ini termasuk kemungkinan UMNO perlu mewujudkan kerjasama bersyarat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat mencetuskan polemik di mata ramai.

Apatah lagi sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam parti serta pentadbiran negara, Najib sudah tentu mengambil kira pelbagai faktor bila menyuarakan cadangan tersebut biarpun menyedari tentangan yang mungkin terpaksa beliau hadapi di dalam partinya.

Penganalisis politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sesebuah parti politik memerlukan dinamika dalam perjuangan mereka sebab itu terdapat istilah ‘tidak ada sahabat atau musuh yang kekal’ di dalam politik.

“Mahu tak mahu, suara Anwar tetap relevan kerana beliau adalah Ketua Pembangkang dan telah masak dengan permainan politik negara.

“Jadi bila Najib menyuarakan cadangan pilihan itu, beliau pastinya turut mengambil kira perkara tersebut.

“Bagi saya pula, apa pun yang disuarakan oleh Najib, itu cuma satu pilihan dan bukannya satu arahan kepada partinya, jadi saya tak nampak beliau berbuat sesuatu yang salah apatah lagi pandangan itu dibuat dalam platform yang betul di mana setiap yang ada dalam mesyuarat tertutup itu bebas untuk berbahas mengenai cadangan dan pandangan yang dikemukakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Najib sebelum ini, mengakui mengemukakan pilihan yang boleh diambil oleh UMNO antaranya rundingan dengan mana-mana parti politik termasuk Anwar.

Namun, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, rundingan itu termasuk dengan semua parti politik kecuali DAP, dan laporan yang beliau ‘mendesak’ BN untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri adalah tidak tepat.

Najib menjelaskan, kerjasama bersyarat dengan PKR tanpa DAP bukanlah satu-satunya cadangan yang diutarakannya semasa mesyuarat bersama ahli-ahli Parlimen BN kelmarin.

Tambah beliau, niatnya ketika membawa cadangan tersebut ke dalam mesyuarat adalah untuk dibincangkan dengan mendalam oleh setiap ahli parlimen yang hadir. Ia tidak bermaksud setiap cadangan berkenaan wajib dilaksanakan.

“Ada yang tuduh saya pencinta atau BFF Anwar. Malah ada mengeluarkan kembali foto saya menziarahi Anwar di hospital. Saya melawat ramai pemimpin politik ketika mereka sakit biarpun tidak sehaluan dalam politik.

“Ada yang tuduh saya nak lepaskan dari kes-kes mahkamah saya. Ada yang kecam saya gila kuasa,” kata Najib dalam salah satu hantaran dalam Facebook rasmi beliau.

Mengenai desakan agar Najib dikenakan hukuman oleh Lembaga Disiplin UMNO termasuk dipecat atas pandangannya itu, Sivamurugan menyifatkan ia tidak berasas sama sekali.

“Parti politik selalu menegaskan mengenai keterbukaan mereka untuk menerima kepelbagaian pandangan daripada para ahli, ini jugalah yang dilakukan oleh Najib.

“Pada peringkat sekarang, apa yang patut parti politik seperti UMNO buat adalah mengukuhkan perpaduan di kalangan mereka supaya mereka boleh berhadapan dengan parti lawan khususnya menjelang pilihan raya yang akan datang.

“Ini bukan masanya untuk berpecah belah hanya disebabkan perbezaan pendapat dan cadangan di antara pemimpin atau ahli di dalam parti itu sendiri,” kata Sivamurugan. – Malaysia Gazette.

1 Komen

  1. Cadangan DSN tu kalau btul…satu kbar yg mendukacitakan utk ahli umno di peringkat akar umbi seperti sy…kalau itu terjadi sy pasti itu adalah tanda kejatuhan besar umno pada PRU15…Secara jujur itu adalah idea yg paling bodoh pernah sy dengar dari DSN.

Comments are closed.