Latheefa Koya

PUTRAJAYA – Terdapat individu yang diberikan notis kompaun kerana disyaki menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini kerana individu terbabit mengatakan bahawa mereka bukan penerima akhir dan bersedia memberitahu siapa yang menerima duit itu secara salah.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, lebih 40 individu meminta tempoh bayaran dilanjutkan.

“Daripada 80 nama kita menerima respon lebih separuh yang meminta lebih masa, ada yang mengatakan ingin bayar tapi tidak mampu bayar amaun yang kami berikan.

“Ada juga mengatakan mereka bukan penerima akhir jika mereka bersedia memberi kerjasama untuk memaklumkan siapa menerima duit itu secara salah, kami akan mencari orang itu,” katanya selepas Majlis Apresiasi Media di sini hari ini.

Pada 7 Oktober lalu. SPRM mengeluarkan notis kompaun ke atas 80 individu dan syarikat dipercayai menerima berjuta-juta ringgit daripada dana pelaburan kerajaan, 1MDB.

Jumlah notis kompaun berkaitan kes 1MDB bernilai RM420 juta.

Tindakan mengeluarkan notis kompaun akan disusuli dengan  disiasat mengikut Seksyen 92 (1) yang mana sekiranya individu itu gagal membayar kompaun imereka akan dihadap ke mahkamah.

Antara yang menerima notis kompaun adalah bekas Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group), Datuk Seri Nazir Razak; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad, Ibu Pejabat MIC, Pergerakan Puteri UMNO dan Wanita UMNO. – MalaysiaGazette