Para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya sibuk membuat persiapan akhir menjelang Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2019.

Oleh Mohamed Khaled Nordin

BARISAN Nasional telah membuat keputusan untuk meletakkan calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Ramai yang mempertikaikan keputusan ini. Sama ada ia adalah keputusan terbaik dan betul, ia adalah keputusan yang mesti kita hormati.

Yang paling penting ialah satu keputusan telah dibuat dan natijah dari keputusan itu adalah bergantung kepada usaha kita untuk menentukan kejayaan atau kegagalannya.

Saya mempunyai beberapa sebab untuk mempertahankan keputusan ini.

Pertama, Tanjung Piai bukan medan terakhir untuk UMNO. UMNO tidak akan mati hanya dek kerana ia tidak bertanding di Tanjung Piai.

Strategi UMNO untuk memerintah semula adalah lebih besar dan kompleks serta bukan diukur hanya dengan satu lagi kemenangan di Tanjung Piai.

Yakinlah, UMNO punya pelbagai medan lain untuk mempamerkan kehandalannya. Maka bersabarlah untuk kemenangan dalam pertempuran yang lebih hebat dan besar.

Kedua, UMNO dan PAS adalah gabungan yang sangat ‘formidable’. Namun, realiti politik di Malaysia ini, tidak boleh dipisahkan dari kemajmukan demografinya.

Undi Melayu sahaja tidak akan menjadikan kuasa politik Melayu itu unggul. Kemenangan kita mestilah kemenangan untuk semua oleh semua. Maknanya kita memerlukan sokongan pelbagai kaum.

UMNO dan PAS itu berdua dan berdua selamanya. Namun berdua sahaja tidak memadai dalam politik Malaysia. Kita mesti bertiga, berempat dan beramai-ramai.

Lalu memberikan laluan kepada MCA adalah untuk menjadikan UMNO dan PAS dan MCA itu bertiga dan bertiga selamanya dalam meraih kemenangan di hari muka.

Ketiga, UMNO telah membuktikan ia terus relevan melalui pelbagai kemenangan lepas. Tiba masanya untuk MCA pula membuktikan ia masih lagi ampuh.

UMNO dan PAS memberikan ruang di Tanjung Piai ini untuk MCA membuktikan ia masih punya hayat di persada politik Malaysia.

Jika MCA gagal di Tanjung Piai, maka MCA mesti memikirkan jalan hadapan kelangsungannya.

Apalagi bila ia bertanding di saat wibawa Kerajaan PH itu berada pada tahap yang sangat rendah dan menyusut drastik.

MCA mesti menggunakan segala peluang di Tanjung Piai untuk membuktikan bahawa orang Cina sudah mula kembali kepadanya.

Tiada lagi alasan bahawa Tanjung Piai adalah tentang kerusi tradisi atau menyelamatkan maruah dan air muka tokoh tertentu. Ia mesti tentang kekuatan sebenar. Dan MCA mesti membuktikan kekuatan sebenarnya di Tanjung Piai.

Keempat, dalam politik, aspirasi kita mesti diimbangi dengan hakikat yang nyata. Hakikat yang nyata dalam percaturan politik ialah, yang terkuat tidak harus menguasai semua. Tetapi harus memimpin semua dengan bertanggungjawab.

Yang lemah harus dibantu kerana bila yang lemah itu juga jadi kuat, maka yang kuat itu akan menjadi semakin unggul. Jangan lupa, bahawa saling membantu demi menguatkan kesemua itu amalan politik bertanggungjawab.

UMNO dan PAS tidak perlu bertanding semua kerusi untuk membuktikan ia gagah. UMNO dan PAS mesti memimpin, dengan rasa tanggungjawab, dalam membangunkan sinergi pelbagai aktor politik lain untuk membuktikan ia adalah ketumbukan politik yang kuat.

Bila UMNO dan PAS membantu MCA, dan memenangkan MCA, maka yang menang bukan MCA. Tetapi UMNO, PAS dan MCA, iaitu semua sekali.

Malah ia akan menjadi kemenangan berganda untuk UMNO dan PAS. Pertama, kerana ia memberikan ruang untuk MCA demi kesepakatan BN. Kedua, kerana tanpa UMNO dan PAS, tidak mungkin MCA akan berjaya. Dan ketiga, kerana UMNO dan PAS bertanggungjawab dalam tindakannya, mengiktiraf rakan dan mendorongnya untuk berjaya, dengan kerjasama ampuh.

Kepada semua penyokong UMNO dan orang Melayu. Musuh kita bukan MCA. Musuh kita adalah Pakatan Harapan. Lalu jangan kita tewas sebelum bertempur kerana konflik sesama kita. Kita mesti menang dalam persaingan kita dengan Pakatan Harapan.

Tidak menyokong MCA akan merugikan UMNO dan PAS dalam jangka masa pendek dan panjang. Memenangkan Pakatan Harapan pula akan memberikan hayat kepada BERSATU.

Lalu pilihan kita hanya satu, iaitu mematikan BERSATU di Tanjung Piai walau siapa pun wakil kita. Yang penting ialah, panglimanya masih UMNO dan PAS.

Akhirnya, jangan kita lupa bahawa kemenangan adalah tentang kerja keras. Kerja keras kita di Tanjung Piai bukan sekadar untuk memenangkan UMNO, PAS dan MCA, tetapi yang lebih utama ialah memenangkan demokrasi.

Maka bekerja keraslah kita untuk Tanjung Pai kerana itu lah sunnah orang berjuang. Mereka yang tidak putus asa, mereka yang tekun, mereka yang bersunguh-sungguh, pasti akan meraih kejayaan jua insyaAllah.

Mohamed Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Malulah woi..hang sendiripun kalah di dua Kawasan PRU 14.,setakat berdentum guruh di langit tetapi Presiden Parti ada 72 pertuduhan mahkamah bersabit salahguna kuasa dan salahguna kedudukkan termasuk penasihat UMNO ADA PERTUDUHAN pengubahan wang haram BERTARAF GLOBAL (di Mahkamah Malaysia salahguna kuasa dan salahguna kedudukkan).Tak ada rasa MALU ke bercanang “yang penting Pahlawannya adalah UMNO dan PAS”.Bukan ke presiden UMNO ada 72 pertuduhan mahkamah dan Layak ke di Nobatkan sebagai Pahlawan Melayu yang menjadi ketua kepada Calon yang bertanding atas Jenama BN di tg.Piai.,Tolong “adakan” rasa malu kepada Generasi Bangsa Melayu akan datang.

  2. Ini kawasan majoriti melayu.
    Kenapa mesti letak calon bukan melayu.
    Mana kempen semangat utama kan produk melayu.

    Memilih mca bn, berarti menghalalkan salah laku yg telah dibuat oleh pemimpin umno bn.

    Ulama pas pula nak gunakan rujukan kitab mana pula bab ini.

Comments are closed.