Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien memeluk calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng selepas mendahului keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Command Centre Barisan Nasional, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bukan disebabkan hanya seseorang individu.

Menurut beliau, kemenangan Jeck Seng adalah kerjasama pelbagai pihak yang menjadi kekuatan sebenar BN sebelum ini.

“Kemenangan kita, kemenangan kita bersama. Tidak boleh letakkan di atas bahu seorang individu sahaja.

“Tidak munasabah kita menang majoriti besar jika tidak dengan kerjasama semua pihak yang turun berkempen kepada Jeck Seng,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Hishamuddin ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa kepada kemenangan BN di Tanjung Piai.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, terpulang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menerima keputusan PRK Tanjung Piai sebagai referendum suara rakyat berhubung kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, perkara itu terletak di tangan PH sendiri untuk menilai sejauh mana kekalahan teruk gabungan itu kepada pentadbiran Dr Mahathir.

“Itu masalah dalaman mereka, bukan urusan kita,” katanya lagi. -MalaysiaGazette