Datuk Mohd Imran Tamrin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin.

SHAH ALAM – Tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang memberikan peruntukan sehingga RM5.3 juta kepada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dipertikaikan susulan kumpulan anak muda itu tidak lebih sekadar belia grup WhatsApp.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin menegaskan, perutukan itu tidak wajar diberikan kerana PeTB tidak mempunyai struktur lengkap berbanding Majlis Belia Selangor (MBS).

“PeBT ini hanyalah sama seperti belia dalam grup WhatsApp saja, mereka ini tiada struktur.

“Yang ada struktur di Selangor ini, yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (RoY) Majlis Belia Selangor, di dalamnya ada gabungan pertubuhan-pertubuhan belia lain.

“Sepatutnya kerajaan mengambil perhatian kepada kumpulan atau persatuan belia seperti ini untuk disalurkan bantuan ataupun peruntukan pembangunan,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Annex, di sini, hari ini.

Beliau mengulas Belanjawan Selangor 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, petang tadi.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.33 bilion untuk Belanjawan Selangor 2020 merangkumi RM1.22 bilion untuk belanja mengurus dan RM1.133 bilion pula bagi belanja pembangunan.

Mohd Imran juga mendakwa, penyaluran perutukan jutaan ringgit itu dipercayai untuk kepentingan parti politik pemerintah di Selangor.

“PeBT ini lebih kepada penggerak-penggerak belia yang ada kepentingan politik.

“Penggerak belia yang berkepentingan politik ini diberikan saluran dana dan juga bantuan.

“Tetapi belia yang betul-betul bersama seluruh belia di Selangor tidak dipedulikan dan Majlis Belia Selangor sekali lagi menjadi anak tiri dan tidak diambil peduli,” katanya. – MalaysiaGazette