Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (kanan) bercakap kepada media pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan,Pontian,Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan beberapa individu yang dikaitkan dengan Gerakan Pembebasan Harimau Tamil Eelam kononnya mereka diseksa secara mental oleh polis ketika dalam tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA sejak 11 Oktober lalu.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, hasil semakan beliau dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam mendapati dakwaan yang dikeluarkan oleh beberapa tahanan itu adalah tidak benar.

“Saya semak dengan pihak Ketua Polis Negara dan pegawai terlibat mereka menyatakan itu tidak benar (tahanan diseksa).

“Bila mereka dibawa keluar berhadapan dengan hakim di dalam kamar, ada yang membuat aduan mereka dipukul dan sebagainya tapi apa pun saya tidak boleh terima bulat-bulat (dakwaan itu) dan akan buat siasatan mendalam.

“Ini hak mereka kalau ada tindakan yang tak selari dengan undang-undang. Kalau ada yang bawa kesan kepada badan mereka, mereka boleh buat laporan pada polis untuk tindakan diambil.

“Namun setakat semalam saya diberi laporan Suaram tuntut supaya saya bertanggungjawab. Ya tetapi mesti jangan ambil tindakan kerana satu dua orang kata itu, sebab ia hanya suatu andaian dan harus disiasat terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai tengahari tadi.

Semalam Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan sekiranya tidak mampu menyelesaikan isu penderaan tahanan.

Beliau merujuk dakwaan ahli keluarga tahanan Sosma yang mendakwa mereka diseksa dan dipaksa membuat pengakuan.

Katanya, perbuatan seumpama itu perlu dihentikan segera sambil melahirkan rasa kesalnya kerana perkara sedemikian masih berlaku dalam Malaysia Baharu.

Penahanan 12 individu termasyuk Exco Melaka serta ADUN Seremban Jaya yang merupakan ahli politik DAP mencetuskan rasa tidak puas hati ahli keluarga serta parti itu yang mendesak mereka dibebaskan. -MalaysiaGazette