PONTIAN – Calon bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar dilihat seperti seolah-olah ‘terkejut’ apabila menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.
Ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan di sini, calon berusia 43 tahun yang bertanding menggunakan lambang kereta itu lebih banyak mendiamkan diri daripada menjawab soalan yang diajukan oleh pihak media.
Malah beliau sendiri mengakui pencalonannya dibuat di saat-saat akhir berikutan masalah kesihatan oleh calon asal mewakili para pemandu teksi, Datuk Shamsubahrin Ismail.
“Pencalonan saya ini last minute, saya back up dan Datuk (Shamsubahrin) pun tak sihat. Nanti Datuk akan buat press conference berkaitan hal ini.
“Kalau nak ditanya kenapa saya jadi calon bebas sebab saya mewakili dia orang ini pemegang GDL, pemegang PSV dan untuk memperjuungkan hal serta nasib mereka. Kita juga akan fokus kepada B40,” katanya ringkas.
Selain itu, pertanyaan yang diutarakan kepada Faridah lebih banyak dijawab oleh Yang Dipertua Gabungan Kereta Sewa, Teksi, Limousine Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM), Kamaruddin Mohd. Hussin.
Dalam pada itu, Kamaruddin ketika ditanya mengapa tidak beliau sahaja dicalonkan menggantikan Shamsubahrin memandangkan dirinya dilihat lebih bersedia berbanding Faridah – beliau menjelaskan pihaknya mahu memberi laluan kepada Faridah kerana dia anak jati di Tanjung Piai.
Beliau turut memberitahu, tidak ada sebarang manifesto dibuat sebagai janji dalam meraih undi sebaliknya mereka memfokuskan kepada matlamat perjuangan membela nasib pemandu e-hailing dan B-40.
Ini kerana katanya, tidak ada guna memiliki manifesto jika ia tidak dapat ditunaikan dan perkara itu dakwanya berlaku kepada Pakatan Harapan (PH).
“Jadi kita tak perlulah tulis manifesto untuk menipu rakyat,”ujarnya.
Kamaruddin turut berharap agar pengundi bersimpati dengan calon mereka dan memberi kemenangan agar segala yang direncanakan akan terlaksana. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Terbaikkk calon PPBM wajib menang untuk habis kan penggal ini