Calon Berjasa P.165 Tanjung Piai, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (tengah) hadir bagi menghantar borang pencalonan pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Gerakan Pengundi Sedar (GPS) tidak boleh dipersalahkan kerana bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai atas alasan akan memecah belah undi Melayu dan Islam serta menguntungkan calon Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana sejak awal lagi Berjasa dan GPS, berpendirian agar calon Muslim berwibawa diletakkan di kawasan majoriti Muslim.

Malah, sejak 3 Oktober lagi Berjasa menyeru “satu perbincangan antara semua parti Melayu bersama-sama pemimpin-pemimpin NGO, pemimpin masyarakat nasional dan tempatan diadakan” bagi “membincangkan calon dan strategi paling sesuai untuk menjatuhkan PH”, kata pemerhati politik Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Berjasa pada 10 Oktober lagi telah mengumumkan kesediaan menghantar calon Muslim berwibawa sekiranya Muafakat Nasional menurunkan calon MCA dalam PRK Tanjung Piai bagi menyampaikan mesej supaya calon Muslim diletakkan di kawasan majoriti Muslim.

Lantaran itu, katanya, tidak mengejutkan apabila Berjasa mengumumkan menghantar Dato Ir. Ts. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz “atas dasar prinsip serta memeriahkan sistem demokrasi di Malaysia dan menimbang peri pentingnya memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam mengundi calon Muslim berwibawa”.

Menurut beliau lagi, calon Berjasa memang calon Muslim berwibawa dengan latar belakang pendidikannya Ijazah Sarjana Muda Colorado State University, United States, Ijazah Sarjana dari University College of Swansea, United Kingdom, dan PhD dari Kyoto University, Jepun.

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Dr Kamarul Zaman YusoffBegitu juga dengan latar belakang kerjayanya yang selama 23 tahun pengalaman bekerja di UMP, UTM, UMK dan UniKL sebagai Pensyarah, Ketua Jabatan, Dekan, Profesor Madya, Profesor, Pengarah Pusat Korporat Strategik, Pengarah Kampus dan Timbalan Naib Canselor.

Malangnya, kata Kamarul, calon Berjasa bakal berdepan cabaran terlalu besar kerana realiti politik Malaysia memperlihatkan pengundi lebih teruja untuk mengundi berdasarkan kepada parti yang diwakili oleh seseorang calon bukan oleh kewibawaan seseorang calon itu sendiri.

“Begitupun, paling tidak, Berjasa telah tegas berdiri “atas dasar prinsip”, dan pandangan Berjasa bahawa pengalamannya di Tanjung Piai dalam PRU-14 menunjukkan undi protes terhadap calon MCA akan pergi kepada calon Berjasa bila ada pilihan juga perlu dikira,” ujarnya.

Namun, kata Kamarul menyatakan rasa pelik kerana ketika Berjasa dikritik kerana tindakannya dikira boleh memecahkan undi Melayu Muslim, Gerakan tidak pula dikritik.

Sedangkan tindakan Gerakan boleh memecahkan undi bukan Melayu Muslim, apatah lagi kerana Gerakan juga adalah pembangkang. – MalaysiaGazette