Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- DAP meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan berhubung laporan kerajaan Amerika Syarikat mengenai terorisme di Malaysia pada 2018 yang langsung tidak menyentuh aktiviti-aktiviti yang mengaitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, laporan itu  menyebut Malaysia terus memainkan peranan sebagai sumber dan lokasi transit bagi kumpulan-kumpulan pengganas seperti Islamic State (IS), kumpulan Abu Sayyaf, Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI).

“Kerajaan AS langsung tidak menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti LTTE.

“Kebimbangan orang awam hanya meningkat selepas pihak polis mengambil tindakan terhadap tertuduh-tertuduh yang didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE, sedangkan LTTE kini sudah lumpuh dan tidak lagi wujud berbanding kumpulan-kumpulan pengganas yang masih aktif seperti IS, Abu Sayyaf, Al-Qaeda dan JI,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

DAP bagaimanapun tetap mengalu-alukan jaminan yang diberikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan menyiasat dakwaan tertuduh-tertuduh yang didakwa diseksa dan dipaksa mengaku bersalah ketika ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Dalam pada itu, Guan Eng juga menafikan dakwaan yang beliau mengancam tidak akan membayar gaji penjawat awam sekiranya mereka tidak mengundi Pakatan Harapan semasa pilihan raya kecil Tanjung Piai nanti.

“Saya tidak pernah berkata demikian. Sudah jelas, pembangkang mahu memenangi pilihan raya tersebut melalui penipuan dan harapan kosong.

“Saya menggesa semua pengundi untuk menolak politik perkauman dan keagamaan melampau yang dimainkan oleh pembangkang.

“Pengundi perlu memberi fokus terhadap parti politik yang boleh memberikan perkhidmatan dan dasar yang lebih baik serta memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat,” katanya lagi.

Guan Eng juga menafikan laporan media yang mengatakan terdapat sembilan agensi dan jabatan yang dipindahkan daripada Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, laporan tersebut tidak mendedahkan terdapat agensi-agensi yang baharu dipindahkan ke Kementerian Kewangan seperti Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia yang memantau semua hospital swasta di negara ini.

Selain itu, koridor-koridor pembangunan ekonomi juga telah dipindahkan ke Kementerian Kewangan.

“Satu-satunya perbezaan yang ketara adalah perpindahan Khazanah Nasional ke Jabatan Perdana Menteri.

“Khazanah selama ini memang dipengerusikan oleh Perdana Menteri meskipun pada pemerintahan Barisan Nasional,” tegasnya.

Jelas Guan Eng, pemisahan di antara jawatan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dibuat oleh PH adalah bagi mengelakkan salah guna kuasa dan memastikan ada semak dan imbang.-MalaysiaGazette