Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu harus berhenti memainkan isu-isu terpencil dan fokus kepada portfolionya dan ‘move on’.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku bekas Menteri Pertahanan berkata, banyak lagi isu-isu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang belum diselesaikan setelah lebih setahun memegang jawatan itu.

“Bila nak buat kerja, saya nak Mohamad Sabu ‘move on’, pimpin Kementerian dan henti bangkitkan isu-isu terpencil dan menyerang saya.

“Ini tidak selesaikan masalah yang dihadapi ATM, kita tak selesaikan rumah aset pertahan kita di Sabah. Itu semua kena bincang takkan nak bincang pasal Sembrong je,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. foto NOOREEZA HASHIM, 31 OKTOBER 2019

Semalam, Mohamad Sabu berkata, kementeriannya akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada peguam negara sebelum mengambil langkah seterusnya bersabit pembelian enam helikopter oleh pentadbiran lepas bernilai RM300 juta.

Malah, kementerian akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan peguam negara bersabit pembelian helikopter berkenaan yang masih belum diterima kerajaan sehingga kini.

Hishammuddin semalam berkata dirinya tidak kisah disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran beberapa dakwaan rasuah berhubung isu pertukaran tanah serta dakwaan salah guna kuasa dalam pembelian enam buah helikopter McDonnell Douglas berharga RM300 juta. – MalaysiaGazette