Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media pada Perhimpunan Bulan November 2019 di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) masih di peringkat perbincangan dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mencari kaedah undang-undang yang sesuai untuk menangani masalah basikal lajak.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau masih menunggu laporan JPJ dan agensi berkaitan keselamatan pengangkutan untuk mengawal selia fenomena basikal lajak yang boleh mengancam nyawa kanak-kanak dan pengguna jalan raya lain.

“Pihak JPJ bersama penasihat undang-undang MOT dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) akan melihat perkara ini bagaimana kita boleh mengawal selia.

“Perkara ini baru dibincangkan, belum ada tempoh lagi tetapi ia perlu dibincangkan bersama dengan pelbagai kementerian lain termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Saya rasa ini perlu sedikit masa untuk kita melihat bagaimana hala tujunya,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan MOT di sini, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) diiringi Timbalan Menteri Pengakutan, Datuk Kamaruddin Jaffar (enam kiri) menyampaikan hadiah pertandingan kepada peserta pada Perhimpunan Bulan November 2019 di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 NOVEMBER 2019

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Azisman Alias semalam yang menggesa MOT dan JPJ memperuntukkan undang-undang khas untuk menangani masalah basikal lajak.

Menurut Azisman, pihak polis agak terbatas untuk mengekang aktiviti basikal lajak kerana ketiadaan undang-undang khusus lebih-lebih lagi ia melibatkan kanak-kanak di bawah 10 tahun.

Jelasnya, pada masa ini pihak polis mengambil tindakan hanya kepada ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai terhadap keselamatan anak-anak di bawah umur.

Mereka hanya boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 33, Akta Kanak-kanak 2001 dan sekiranya didapati bersalah boleh didenda sehingga RM20,000 dan penjara 5 tahun.

Siew Fook berkata, perbincangan MOT pada masa ini masih belum sampai ke peringkat draf undang-undang baharu mahupun pindaan akta pengangkutan sedia ada.

“Kita belum sampai ke tahap itu, kita kena lihat bagaimana kawal selia itu sama ada kita boleh menggunakan undang-undang sedia ada ataupun perlukan pindaan undang-undang ataupun undang-undang baru.

“Baru minggu lepas kita membincangkan perkara ini dan JPJ diminta untuk melihat kerangka bagaimana untuk mengawal selia dan mengatasi masalah yang dihadapi sekarang ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun Seksyen 54 Akta JPJ membolehkan sitaan dilakukan, namun pihaknya perlu memperhalusi perkara itu kerana aktiviti basikal lajak kebanyakannya melibatkan kanak-kanak.

“Kita kena lihat praktikalitinya. Itu sebabnya kita perlu lihat secara keseluruhan akta itu dan apa lagi peruntukan atau pindaan yang diperlukan.

“Kita nak menguruskan dan mengawal selia termasuk tanggungjawab ibu bapa dan sebagainya perlu dilihat secara keseluruhannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette